Lebih kurang 23 juta kad pembayaran di Malaysia telah digantikan dengan kad berciri nombor pengenalan peribadi (PIN), kata Bank Negara Malaysia.

Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini, berkata semua terminal kad pembayaran yang digunakan dalam negara, termasuk terminal bayaran di stesen minyak, telah dinaik taraf bagi menyokong penggunaan PIN.

"Majoriti (94 peratus) pemegang kad telah menggunakan PIN, dengan hanya enam peratus daripada transaksi kad yang layak PIN masih menggunakan pengesahan tandatangan pada 31 Mei, 2017," katanya.

BNM sebelum ini mengumumkan semua transaksi kad pembayaran tempatan hanya akan dapat disahkan dengan menggunakan PIN berkuatkuasa 1 Julai 2017, di mana pengesahan tandatangan tidak lagi diterima selepas itu.

BNM mencadangkan pemegang kad yang belum menukar kad pembayaran mereka kepada kad menggunakan sistem PIN, menghubungi bank atau penyedia perkhidmatan bukan bank mereka dengan serta-merta untuk penggantian.

-- BERNAMA