Keputusan sama ada penganjuran majlis perkahwinan dibenarkan atau tidak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), akan diumumkan Rabu ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara bekenaan sedang diperhalusi dengan semua pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) membabitkan semua aspek terutama berkaitan prosedur operasi standard (SOP) lebih khusus.

"Saya terima banyak rungutan daripada syarikat perkhidmatan perunding perkahwinan kerana turut terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

"Namun, perkara itu telah dibentangkan hari ini dan akan dibincang dengan lebih terperinci dalam mesyarat khas bersama MKN dan pihak berkaitan esok (Selasa)," katanya dalam sidang media PKPP di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, antara yang akan dibincangkan ialah bilangan kehadiran tetamu dalam satu majlis perkahwinan, sama ada boleh melebihi seramai 250 orang.