KENINGAU: Usaha pasukan bomba untuk membawa keluar ahli geologi dari Indonesia yang cedera akibat disengat lebah di Hutan Simpan Sapulut di sini berjaya selepas menempuh perjalanan dengan berjalan kaki selama lima jam.

Mangsa yang dikenali sebagai M Iqbal, 24, bersama empat lagi rakannya berusia antara 25 hingga 33 tahun berjaya dibawa keluar dari hutan itu dibantu oleh anggota BBP Sook kira-kira jam 1.30 tengah hari Rabu selepas pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada malam Isnin lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, lokasi kejadian terletak sejauh 180 kilometer dari balai bomba.

"Sebaik tiba di simpang hutan simpan berkenaan, pasukan bomba terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer dan mengambil masa selama dua jam setengah untuk sampai ke lokasi.

"Mangsa dan rakannya ditemukan dalam keadaan selamat pada jam 10.30 pagi. Pasukan bomba bersama kumpulan geologi itu kemudian meneruskan perjalanan keluar dari hutan berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Katanya lagi, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke klinik kesihatan berdekatan.

"Operasi ditamatkan pada jam 1.50 tengah hari," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan mangsa cedera dipercayai disengat lebah mengalami sesak nafas dan sukar untuk meneruskan perjalanan keluar dari hutan berkenaan.

Kumpulan berkenaan turut mengalami kesukaran untuk berhubung disebabkan tiada talian telefon di lokasi dan terpaksa menggunakan radio satelit untuk menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan.

Mangsa bersama rakannya merupakan ahli geologi yang masuk ke dalam hutan untuk menjalankan kajian arang batu di hutan berkenaan. - Sinar Harian