Skip to main content

Malaysia

Bomba selamatkan wanita terkandas di beting pasir di Pantai Balok

Sumber: JBPM Pahang
Seorang wanita berdepan detik cemas selepas terkandas di beting pasir di Pantai Balok, Kuantan, semalam. - Gambar JBPM Pahang

KUANTAN: Seorang wanita berdepan detik cemas selepas terkandas di beting pasir di Pantai Balok, di sini, semalam. 

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian yang melibatkan mangsa berusia 24 tahun itu pada 8.37 pagi, semalam.

Advertisement

“Kejadian itu berlaku ketika wanita terbabit pergi ke beting pasir sejauh 100 meter dari pesisir pantai dan tidak menyedari air mulai pasang, sekali gus terkandas di lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng memulakan operasi dengan membawa mangsa menggunakan bot getah menyeberangi air sedalam kira-kira satu meter menuju ke pantai.

Dalam pada itu, Mohd Salahuddin turut menasihatkan orang ramai supaya mengelak berada di beting pasir ketika air laut berubah serta sentiasa peka terhadap jadual pasang surut air laut. 

“Beting pasir boleh kelihatan selamat semasa air surut, tetapi akan cepat ditenggelami apabila air pasang. Elakkan turun ke kawasan berisiko seorang diri serta pastikan ada rakan atau ahli keluarga yang boleh memantau keadaan,” katanya. 

-- BERNAMA 

Must Watch Video