Jenazah bonda Sultan Johor, Yang Amat Mulia Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah selamat dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, pada 11.30 pagi tadi.

Almarhumah disemadikan sebaris dengan makam cucundanya, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim yang mangkat pada 2015.

Istiadat pemakaman diadakan separuh istiadat kemangkatan diraja.

Almarhumah Enche' Besar Hajah Khalsom, 83, mangkat pada 7.55 malam, 1 Jun lepas, di Hospital King Edward VII, London.

Almarhumah yang dilahirkan pada 2 Dis 1935, dikurniakan tiga puteri serta seorang putera iaitu Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Besar Zabedah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Johor Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hasil perkahwinan dengan Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.

Suasana pilu menyelubungi keluarga diraja Johor dan hadirin ketika jenazah tiba di makam berkenaan pada 10.50 pagi bagi Istiadat Pemakaman dengan diarak menggunakan pedati diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman.

Pedati terbabit ditarik 40 Askar Timbalan Setia Negeri Johor sepanjang 2.8 kilometer bermula dari Istana Besar melalui pintu gerbang dan masuk ke Jalan Ayer Molek terus ke makam diraja.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan mengiringi jenazah Almarhumah Yang Amat Mulia Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah yang ditarik menggunakan pedati khas oleh 40 Askar Timbalan Setia Negeri Johor dari Istana Besar sejauh 2.8km ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah bagi Istiadat Pemakaman hari ini. - BERNAMA
Sultan Ibrahim, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail turut mengiringi pedati membawa jenazah berkenaan dengan perarakan didahului Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani selaku Datuk Penghulu Biracana.

Talkin dibacakan Timbalan Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad manakala pencucuran air mawar didahului Sultan Ibrahim, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah serta kerabat diraja Johor.

Terdahulu, Sultan Ibrahim memperkenankan kerabat dan orang ramai memberi penghormatan terakhir terhadap jenazah Almarhumah yang disemayam di atas peterana setinggi tiga tingkat di Bilik Singgahsana, Istana Besar, mulai 8 pagi hingga 10 pagi tadi.

Berangkat ke Istiadat Penghormatan Terakhir di Istana Besar itu, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sultan Hassanal Bolkiah bersama anakanda, Pengiran Muda Abdul Mateen serta Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah turut berangkat.

Antara kenamaan dan pemimpin yang hadir di Istana Besar ialah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong bersama isteri Ho Ching, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian.

Jenazah Almarhumah Hajah Khalsom tiba dari London di Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada kira-kira 11 malam tadi dengan menaiki pesawat peribadi Sultan Ibrahim.

Jenazah kemudian diiring ke Istana Besar menggunakan ambulans peribadi Sultan Ibrahim dan tiba di istana berkenaan kira-kira 11.45 malam untuk disemayamkan dan Istiadat Penghormatan Terakhir sebelum dimakamkan hari ini. -- Bernama