Skip to main content

Malaysia

Bot karam: Mayat ke-10 ditemukan nelayan, empat masih hilang

LUMUT, 13 Mei -- Anggota Pasukan Polis Marin (PPM) menjalankan Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) insiden bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika ditemui Bernama di Jeti APMM Kampung Acheh di sini hari ini.  Radius pencarian mangsa tragedi bot karam di Pulau Pangkor diperluaskan sehingga 343 batu nautika persegi pada hari ketiga operasi, bagi mengesan tujuh lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang masih hilang di kawasan perairan berkenaan.   --fotoBERNAMA (2026) HAK
Anggota Pasukan Polis Marin menjalankan operasi mencari dan menyelamat insiden bot membawa pendatang asing tanpa izin di Jeti APMM Kampung Acheh, Lumut, 13 Mei 2026. - Gambar fail/BERNAMA

IPOH: Satu lagi mayat mangsa bot membawa warga Indonesia karam di perairan Pulau Pangkor ditemukan malam tadi, menjadikan jumlah mangsa maut setakat ini 10 orang.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan mayat lelaki itu ditemukan nelayan pada 7.40 malam pada kedudukan 3.6 batu nautika timur laut dari lokasi kejadian.

“Mayat dipindahkan ke aset Pasukan Polis Marin (PPM) PSC 16 dari vesel nelayan tempatan dan dibawa ke Jeti PPM Kampung Acheh pada 9.35 malam untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

APMM memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kelima diteruskan pada 7 pagi tadi bagi mencari empat lagi mangsa hilang.

Dalam kejadian 11 Mei, sebuah bot dipercayai membawa 37 pendatang tanpa izin Indonesia dilaporkan karam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan menuju beberapa destinasi di Malaysia.

Setakat ini, 23 mangsa berjaya diselamatkan.

-- BERNAMA

Must Watch Video