LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak berjaya menyelamatkan 10 pemancing warga tempatan yang berdepan detik cemas apabila bot mereka mengalami kerosakan, malam Jumaat.

Pengarah Maritim Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot itu mengalami kerosakan shaft propeller di kedudukan 8.9 batu nautika barat daya Pulau Dua, dekat sini, sekitar jam 7.35 malam.

Menurutnya, maklumat insiden itu diperolehi daripada Pusat Operasi Maritim  (POMAR) Ibu Pejabat Putrajaya selepas pemilik bot Sea Tull berkenaan melaporkan kejadian dengan meminta aset bantuan untuk menunda bot pancing tersebut ke perairan Pulau Pangkor.

Ekoran itu, aset APMM KM Rawa telah digerakkan untuk memindahkan kesemua pemancing ke atas bot Perkasa 1223 melalui titik pertemuan kedua-dua aset Maritim Malaysia pada 3.30 pagi Sabtu.

“Kesemua pemancing warga tempatan berumur lingkungan 28 hingga 50 tahun itu berjaya didaratkan dan dilaporkan dalam keadaan stabil sehingga tiba di jeti Perikanan Kampung Acheh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.