Bot tradisional pantai timur diabadikan dalam skala mini

Pokku berkata Setiap replika bot mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk disiapkan bergantung pada saiz, dengan lima pilihan ditawarkan. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Minat mendalam terhadap bot nelayan tradisional pantai timur sejak muda mendorong seorang tukang rumah dari Kampung Beris Alor Pisang, Besut, Terengganu menghasilkan bot berskala mini yang bukan sahaja menyerupai bot sebenar, malah boleh dikendalikan di atas air menggunakan sistem kawalan jauh (RC).
Ringkasan AI
- Pokku, seorang tukang rumah dari Terengganu, menghasilkan bot mini berkenaan bot nelayan tradisional pantai timur yang boleh dikawal menggunakan sistem kawalan jauh.
- Minat Pokku terhadap bot bermula dari pemerhatian terhadap bapa sepupunya yang membina bot jenis C2, dan beliau berjaya menghasilkan replika bot laut pantai timur selepas beberapa bulan proses pembelajaran.
- Setiap bot mini yang dihasilkan mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk disiapkan, dengan harga jual antara RM3,000 hingga RM6,000 berdasarkan saiz, dan menggunakan bahan seperti kayu tahan air dan papan lapis dilapisi gentian.
"Pada mulanya saya guna kayu buangan dan plywood (papan lapis), buat sedikit demi sedikit sampai menjadi sebuah bot. Dari situ semangat saya makin kuat untuk terus menghasilkan bot, sebelum berjaya menyiapkan bot pertama pada 2017," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Pokku, yang meninggalkan pekerjaan sebagai nelayan pada 2002 dan kini bekerja sebagai tukang rumah sepenuh masa, berkata kemahirannya menghasilkan bot mini sudah dikuasai sejak zaman nelayan lagi, manakala pengalaman sebagai tukang rumah hanya membantu dari segi ketelitian.
Bapa kepada tiga anak itu berkata asas kemahiran tersebut membolehkannya meniru pelbagai model bot tradisional pantai timur termasuk reka bentuk bot nelayan Kelantan, Terengganu, bot Siam serta bot kelas C2 yang sering digunakan untuk operasi laut dalam.
Pokku berkata setiap replika mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk disiapkan bergantung pada saiz, dengan lima pilihan ditawarkan iaitu dua kaki atau 0.61 meter (m), dua kaki setengah (0.76 m), tiga kaki (0.91 m), tiga kaki setengah (1.07 m) dan lima kaki (1.52 m).
"Bot ini sebenarnya terbahagi kepada dua komponen utama iaitu dek (badan bot) dan tender (kabin serta aksesori). Tender inilah yang paling sukar kerana setiap bahagian kecil seperti joran, kacung (bahagian sisi atas bot/gunwale), tiang api, pagar, spotlight dan kelengkapan pukat perlu dibuat dan dipasang satu per satu. Kerjanya halus dan banyak perincian, sebab itu tender lebih mahal daripada badan bot," katanya.
Menyentuh bahan utama dalam penghasilan bot mini itu, dia berkata lunas atau rangka utama bot diperbuat daripada kayu tahan air seperti cengal dan meranti merah, manakala badan bot menggunakan papan lapis yang dilapisi gentian, khususnya untuk model RC.
"Bagi model bot RC, replika itu dipasang dengan komponen elektronik yang ditempah seperti bateri, Electronic Speed Controller (ESC), motor, kemudi, kipas dan servo yang membolehkan ia bergerak stabil di atas air," ujarnya yang kini telah menghasilkan hampir 50 unit bot mini dengan harga bermula RM3,000 hingga RM6,000 bergantung pada saiz.
Pokku berkata meskipun prosesnya dibuat sedikit demi sedikit setiap hari, kepuasan melihat sebuah bot kecil lengkap dengan perincian halus terbentuk daripada sekeping kayu kosong menjadi dorongan utama yang membuatkannya terus menghasilkan bot mini baharu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


