KUALA LUMPUR: Boustead Holdings Bhd (Boustead) akan mula melaksanakan strategi baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk memperhebatkan lagi transformasi kumpulan di bawah struktur pegangan saham baharu setelah selesai proses nyahsenarai.

Pada 12 Jun 2023, Lembaga Tabung Angkatan Tentera mengumumkan kejayaan pengambilalihan Boustead pada tarikh tutup tawaran, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan sempena mesyuarat agung tahunan ke-61 Boustead yang diadakan secara maya hari ini.

"Selaras dengan perenggan 16.07 keperluan penyenaraian, Boustead akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengemukakan permohonan kepada Bursa Securities bagi penarikan balik status penyenaraiannya daripada senarai rasmi Bursa Securities," katanya.

Pengerusi bukan bebas bukan eksekutifnya Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman berkata penyahsenaraian itu akan menandakan lembaran baharu dalam sejarah kumpulan dan penetapan semula akan dibuat secara "objektif, bertanggungjawab dan mampan dalam membuka kunci nilai."

Ketua Pegawai Eksekutif Bousted Izaddeen Daud berkata selain langkah nyahsenarai, kumpulan yakin dengan daya tahan perniagaan terasnya yang pelbagai.

"Kami akan terus mempertajamkan fokus kami terhadap program peningkatan prestasi serta melaksanakan strategi pengurusan kos yang berhemat untuk melonjakkan kecekapan operasi dan memacu margin keuntungan.

"Selain itu, kami sedang giat meneroka aliran pendapatan baharu dan memperkemas aset bukan strategik bagi memacu pertumbuhan jangka panjang kami," katanya.

-- BERNAMA