Skip to main content

Malaysia

BPMB lancar kohort kedua CFIL perkukuh ekosistem pembiayaan iklim negara

Sumber: BPMB
CFIL berfungsi sebagai platform yang menghubungkan pihak pengawal selia, institusi kewangan, pelabur dan pemaju projek bagi meningkatkan kesiapsiagaan projek serta memudah cara penyaluran pembiayaan kepada inisiatif berimpak tinggi. - Foto BPMB
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) melancarkan kohort kedua Climate Finance Innovation Lab (CFIL) bagi memperkukuh ekosistem pembiayaan iklim negara dan mempercepat pembangunan projek berkaitan iklim yang berpotensi menarik pelaburan.

Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan BPMB, Zakiah Mat Esa, berkata CFIL bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan, malah berfungsi sebagai platform yang menghubungkan pengawal selia, institusi kewangan, pelabur, pemaju projek serta pelbagai rakan ekosistem untuk meningkatkan kesiapsiagaan projek dan mempercepat pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi.

Beliau berkata kejayaan kohort pertama menjadi pemangkin kepada pengukuhan program berkenaan bagi menyokong lebih banyak projek yang mampu memberikan manfaat kepada pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar negara.

"Berlandaskan momentum kukuh daripada kohort pertama, kami berharap dapat terus memperluas ekosistem ini serta menyokong projek yang mampu memberi impak pembangunan dan alam sekitar yang signifikan kepada Malaysia," katanya pada majlis pelancaran kohort kedua CFIL.

Sejak dilantik sebagai pentadbir program pada Jun 2025, BPMB telah membangunkan CFIL sebagai platform nasional di bawah Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3), yang dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Inisiatif itu bertujuan mempercepat pembangunan projek berkaitan iklim dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang berdaya maju serta bersedia untuk menerima pelaburan.

Dalam tempoh tahun pertama pelaksanaannya, CFIL menerima 23 penyertaan projek dengan jumlah keperluan pelaburan dianggarkan sebanyak AS$850 juta (RM3.47 bilion).

Daripada jumlah itu, 15 projek dipilih menyertai *CFIL Accelerator Programme*, dengan satu projek berjaya memperoleh geran pembiayaan antarabangsa, manakala tiga projek lagi terpilih untuk dipamerkan pada Sasana Symposium 2026.

Berdasarkan pencapaian tersebut, kohort kedua CFIL memperkenalkan kriteria kelayakan yang lebih komprehensif, proses pemilihan yang diperkemas serta kerjasama ekosistem yang lebih strategik bagi meningkatkan kualiti projek dan tahap kesiapsiagaan pelaburan.

Bagi kohort kali ini, sebanyak 22 projek terpilih dengan nilai keperluan pelaburan keseluruhan dianggarkan AS$423 juta (RM1.73 bilion).

Projek berkenaan merangkumi 11 projek dalam sektor Peralihan Tenaga dan Inovasi Hijau, tujuh projek Ekonomi Kitaran dan Bandar Mampan, dua projek Pertanian Mampan serta dua projek Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi dan Biodiversiti.

CFIL Accelerator Programme edisi kedua akan dilaksanakan dengan kerjasama UN Global Compact Network Malaysia, Brunei & Cambodia (UNGCMBC) sebagai rakan strategik.

Program itu akan menawarkan pembangunan kapasiti secara berstruktur, bimbingan daripada pakar industri serta akses kepada rangkaian pelabur bagi membantu projek mencapai tahap kesiapsiagaan pelaburan menjelang Persidangan JC3 pada September 2026.
 

 

Topic Berkaitan

Must Watch Video

Advertisement