KUALA LUMPUR:Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) membabitkan peruntukan RM6.5 bilion disifatkan sebagai meringankan beban semua golongan sasar.

Daripada golongan bujang, isi rumah sehinggalah kepada golongan rentan, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat mengukir senyuman kepada para penerima.

Isi rumah yang ditemui Astro AWANI pada Isnin berkata, bantuan kewangan antara RM1,200 dan RM1,800 sangat bermakna buat mereka ketika berdepan tempoh sukar ketika ini.

"Bagi saya, Belanjawan 2021 ini 'okay', nampak seperti kerajaan prihatin dengan rakyat yang dalam keadaan sekarang.

"Maknanya, kita sebagai peniaga kecil pun pendapatan tidak tetap.. dengan adanya bantuan ini dapat meringankan beban," kata Azman Iyeeni, 51 tahun, peniaga di Batu Caves, Selangor.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Rashid Ramadir, 46 tahun, menambah: "Saya dapat bantuan BPN ini daripada awal sampai sekarang.

"Terbaharu, saya memohon Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan ia banyak membantu, tambahan pula dalam keadaan COVID-19."


Bagi kategori bujang yang ditemui pula, mereka mengakui akan memanfaatkan sepenuhnya bantuan termasuk untuk menampung keperluan hidup.

"(Bantuan) itu dapat membantu saya untuk membeli barangan keperluan sebab saya bujang. Ia dapat meringankan beban saya untuk memberi barang-barang tersebut," ujar Mohd Hafiz Aizat Che Harun, 25 tahun, seorang pemandu Grab.

Selain bantuan kewangan, penghantar makanan, Mohamed Tarmizi Atan, 33 tahun, berpendapat kerajaan menerusi agensi-agensi berkaitan perlu meneliti dan memberikan lesen kepada peniaga.

"Bagi saya, inisiatif kerajaan memberi sumbangan terutamanya wang ringgit kepada golongan berpendapat rendah (B40) sedikit sebanyak meringankan beban kami.

"Saya harap kerajaan perlu ada tenaga pakar yang lebih untuk menyelidik secara terperinci bagi peniaga yang tiada lesen dan mereka yang tidak menerima sumbangan ketika COVID-19 ini," jelasnya.

Bagi penerima kategori orang kurang upaya (OKU) yang tidak mampu bekerja, Tamil Selban, dia berharap kerajaan akan lebih mengambil berat terhadap golongan tersebut.

"(Bantuan BPR) saya beli (keperluan) anak, saya bayar rumah lagi tetapi sekarang okay, sebab sudah enam bulan tidak perlu bayar sewa rumah.

"(Jadi bantuan) kerajaan boleh juga ringankan beban," katanya.

BPR yang menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) pada 2021 dijangka memanfaatkan 8.1 juta orang berbanding 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion di bawah BSH.

IKUTI SEGALA TENTANG BELANJAWAN 2021, DI SINI