Warga kota harus membuang persepsi salah yang selalu dicanang pembangkang untuk merosakkan kerajaan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ia termasuk merenung kembali setiap bantuan yang diberi kerajaan terutama keselesaan perumahan.

"Saya minta mereka renung kembali sebelum mereka pindah, ke mana mereka duduk sekarang. Saya merayu semua wakil penduduk memberi penerangan di seluruh Wilayah Persekutuan terhadap apa yang dilakukan kerajaan kepada mereka.

"Mereka kini mempunyai wakil rakyat yang tidak membuat kerja dan hanya menumpang usaha yang dibuat kerajaan. Apabila berlalu masalah atau apa-apa musibah, kitalah yang akan turun dan bersama rakyat," katanya selepas merasmikan Kenduri 1 Wilayah Persekutuan dan Sesi Gotong-Royong di PPR Pekan Batu di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, calon PKR Batu, Tian Chua memenangi kawasan itu dengan majoriti 13,284 undi mengalahkan empat lagi calon termasuk dari Gerakan.

Dalam pada itu Pengerusi BN Parlimen Batu, Datuk Yahya Mat Ghani berkata, pihaknya akan memastikan penambahan undi terutama daripada orang Melayu untuk memastikan peluag kemenangan pada PRU akan datang.

"Kita tetap berusaha walaupun dua kali kalah dengan majoriti yang besar dengan Tian Chua. Kita tetap berusaha dari segi penambahan pengundi dalam kalangan orang muda. Kita buat program dari rumah ke rumah dan cari pengundi. Kita minta mereka daftar supaya ada penambahan sokongan pada PRU akan datang," jelasnya.