Buang puntung rokok, buruh binaan didenda RM300

Jufri Zulkifli didenda RM300 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat selepas mengaku bersalah membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam. - Foto Bernama
ALOR SETAR: Seorang buruh binaan warga Indonesia hari ini didenda RM300 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat selama enam jam oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah membuang sisa pepejal, iaitu puntung rokok, di tempat awam bukan di dalam tong sampah yang disediakan.
Jufri Zulkifli, 39, selaku orang kena saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Kes itu merupakan pendakwaan pertama di negeri ini di bawah Seksyen 77A Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Mengikut pertuduhan, lelaki berasal dari Aceh, Indonesia itu didakwa membuang sisa pepejal berupa puntung rokok di tempat awam atau jalan awam, bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi pembuangan sisa pepejal, di sekitar Menara Alor Setar di sini pada 12.10 tengah malam, 1 Jan lepas.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Subseksyen 77A(1) Akta 672 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 dan sebagai tambahan, boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat tidak lebih 12 jam secara agregat dalam tempoh tidak lebih enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah mahkamah.
Dalam rayuannya, OKS memohon hukuman ringan atas alasan beliau bekerja sebagai buruh binaan dengan gaji harian RM80 serta menanggung ibu dan anak.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM300 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda, selain memerintahkan OKS menjalani khidmat masyarakat selama enam jam pada kadar sejam sehari dalam tempoh dua bulan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Nur Idayu Syazwani Mohd Arif, manakala OKS tidak diwakili peguam.
Pada 23 Jan lepas, seorang wanita warga Indonesia menjadi OKS pertama di Malaysia yang didenda dan diperintahkan melakukan khidmat masyarakat oleh mahkamah, kerana kesalahan membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok dan botol minuman di tempat awam.
Mulai 1 Jan lepas, individu yang membuang sampah kecil (seperti puntung rokok, botol) atau meludah merata-rata di tempat awam di Malaysia, terutamanya Kuala Lumpur, akan didenda sehingga RM2,000.
Mereka juga boleh diperintahkan menjalani khidmat masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan sebagai langkah tegas meningkatkan kebersihan awam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


