Kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli parlimen akan terbatal selepas tempoh 14 hari daripada tarikh sabitan dan hukuman, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pandikar Amin memberitahu, kekosongan kerusi Permatang Pauh akan diumumkan selepas tempoh 14 hari itu berakhir iaitu pada 24 Februari.

Namun, kata Pandikar Amin, sekiranya Anwar memfailkan petisyen pengampunan dalam t‎empoh tersebut maka status kelayakannya akan diketahui selepas keputusan petisyen itu diumumkan.

"Di bawah perenggan (a) Fasal (4)‎ Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, kehilangan kelayakan YB Permatang Pauh sebagai ahli Parlimen hendaklah mula berkuat kuasa apabila habis tempoh 14 hari dari tarikh YB Permatang Pauh disabitkan dan dihukum.

"Sehubungan itu, saya hanya boleh mengemukakan pemberitahuan selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik sahaja kehilangan kelayakan YB Permatang Pauh sebagai ahli Parlimen mula berkuat kuasa," katanya.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan yang difaikan Anwar dan mengekalkan hukuman lima tahun penjara terhadapnya atas tuduhan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 30, di Bukit Damansara, Kuala Lumpur tujuh tahun lalu.

Kesalahan Anwar di bawah Seksyen 337B Kanun Keseksaan boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan sebatan.

Ia dibaca bersama Seksyen 337A Kanun Keseksaan, yang mensabitkan kesalahan liwat dan seks oral.

Anwar didapati bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari di sebuah unit kondominium di Damansara, Kuala Lumpur, pada 26 Jun 2008.