PAPAR: Penduduk sekitar Kampung Nagapas gempar dengan kehadiran seekor buaya yang dilihat berada di atas jalan sekitar jam 11.30 malam, Rabu.

Kehadiran reptilia sepanjang kira-kira tiga meter itu disedari penduduk kampung dan kelibatnya sempat dirakam seorang lelaki yang berada di dalam kenderaan.

Rakaman video berdurasi 15 saat itu tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp sehingga menimbulkan pelbagai reaksi warga net.

Lelaki dikenali sebagai Richard L, 52, memaklumkan sebelum terserempak dengan reptilia berkenaan, dia diminta oleh ahli keluarganya untuk memeriksa keadaan sungai yang terletak berhampiran rumah mereka.

Katanya, keadaan hujan lebat sejak beberapa jam di daerah itu menyebabkan mereka bimbang paras air sungai meningkat dan dikhuatiri akan menyebabkan banjir.

"Ketika menghampiri jambatan sungai berkenaan, saya terserempak dengan seorang lelaki lain yang menaiki kenderaan jenis Perodua Kancil dan sempat bertanya kepadanya jika keretanya rosak.

"Namun, lelaki terbabit memaklumkan ada terlihat seekor buaya di atas jalan kira-kira 50 meter dari tempat kami berdiri," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Richard berkata, mereka kemudiannya bertindak memeriksa lokasi berkenaan sebelum menemui reptilia terbabit dan kelibat buaya itu sempat dirakam menggunakan telefon bimbit lelaki berkenaan.

"Saya terkejut apabila melihat buaya berkenaan benar-benar ada di atas jalan dan sempat merakam menggunakan telefon pintar pemilik kenderaan berkenaan.

"Ini kali pertama saya melihat buaya berkenaan dan tujuan saya tularkan perkara itu adalah sebagai peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati.

"Ini kerana ramai penduduk kampung sering turun ke sungai untuk aktiviti merambat ikan, namun tiada sesiapa yang pernah menceritakan penemuan reptilia berkenaan," katanya.

Richard berkata, bimbang dengan kehadiran haiwan itu, dia turut memaklumkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk mendapatkan bantuan untuk memerangkapnya.


*Berita asal di Sinar Harian