PAKATAN Harapan (PH) digesa agar membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan berikutan kerajaan sedia ada gagal memastikan kestabilan dan keharmonian dalam negara.

Gesaan itu dibuat Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpendapat, perkembangan semasa dalam kepimpinan dan kerajaan PH hanya memberikan tekanan kepada rakyat.

Menurut beliau, kemelut perebutan kuasa dalam kepimpinan PH menunjukkan kerajaan itu hanya mementingkan jawatan dan tidak menghiraukan keluh kesah kehidupan rakyat.

Bahkan, episod 'pergeseran' terbuka antara Presiden dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuatkan keadaan lebih keruh.

“Pergolakan PH bukan sahaja membabitkan PKR tetapi termasuk di Sabah ada ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dan masuk UMNO semula, dan ada antara parti komponen tidak stabil, termasuk juga isu nak isytihar siapa Perdana Menteri, kita nampak dalam keadaan rakyat susah ini masing-masing berebut nak jadi menteri, jadi tidak beri fokus masa depan negara.

“Kerajaan perlu bubar Parlimen beri mandat baharu supaya negara lebih stabil dan rakyat lihat masa depan lebih teratur, kalau suasana kekal begini pelabur pun hilang keyakinan, pembohongan Menteri Kewangan menyebabkan nilai matawang kita jatuh,” katanya seperti dilaportkan portal berita Utusan Online.

Seandainya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, Tuan Ibrahim memberitahu Utusan Online, Pas dan UMNO tidak akan menghadapi masalah.

“Suasana sudah tidak stabil, kita tidak ada pilihan, tidak perlu tunggu tiga tahun. Esok pun boleh, Insya-Allah Pas dan UMNO bersedia bila-bila masa,” katanya seperti dilaporkan portal itu lagi.

BACA: Video intim, apa seterusnya?

B
ACA: Kemelut PKR: Saya ada banyak benda lain untuk fikir - Tun M