Hidangan bubur lambuk disifatkan menu yang ditunggu semua kaum di negara ini terutama pada bulan Ramadan.

Naib Ketua UMNO Bahagian PJS Datuk Mutalif Rahim berkata, ia sekali gus tanda persepakatan antara kaum yang sentiasa mahu hidup dalam suasana yang harmoni.

"Pada kebiasaanya, bubur lambuk hanya dinikmati dan digemari kaum Melayu namun dalam bulan Ramadan yang berkat ini, komponen BN dari MCA, MIC, Gerakan dan MyPPP yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama sepakat mengedarkan bubur lambuk itu kepada masyarakat di kawasan Taman Medan, Petaling Jaya Selatan.

"Semangat kebersamaan dan kesepakatan itu dapat diterjemahkan mengenai bubur lambuk dan bukannya hanya perlu bermain dan bercerita mengenai politik semata-mata.

"Kita dapat agihkan kepada kira-kira 1,000 orang di kawasan ini. Ini antara bantuan yang kita dapat agihkan dengan mengunjungi rumah, surau, jalanraya, bazar bagi mendekati masyarakat di bulan mulia ini bersama-sama parti komponen. Kita percaya, semangat kerjasama yang kuat antara kita, faktor kejayaan program hari ini," katanya selepas program agihan bubur lambuk komponen Barisan Nasional Petaling Jaya Selatan.

Antara kepimpinan yang hadir adalah Pengerusi BN PJS Datuk Donald Lim dan Penyelaras DUN Bkt Gasing GERAKAN Chai Kor Thing dan pemimpin-pemimpin dari MIC dan MyPPP.

Dalam pada itu, Donald ketika ditemui berkata program itu lambang semangat setiakawan tanpa mengira latar belakang dalam menjayakan agenda membantu rakyat walaupun hanya melalui bubur lambuk.

"Malaysia ini unik. Kita ada pelbagai perbezaan tapi kita berkongsi apa kita ada. Jadi saya harap program seperti ini yang menggabungkan semua pihak dapat diteruskan lagi," katanya.

Kor Thing pula berkata, program agihan bubur lambuk itu bukti perkhidmatan komponen BN yang lebih efektif kepada masyarakat dan akan diperluaskan lagi kepada pelbagai program bantuan lain untuk kesenangan pihak yang memerlukan.

Bubur lambuk antara juadah yang telah menjadi tradisi di seluruh negara khasnya ketika bulan Ramadan di mana orang Islam dan juga bukan Islam turut sama meminati dan menanti agihan makanan tersebut.