KUCHING: Sebanyak 300,000 bekas bubur lambuk berjaya disediakan dalam program Gerak Rahmah 2023 - Jom Masak Bubur Lambuk yang dianjurkan serentak di seluruh negara, pada Sabtu.

Program gotong-royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk yang dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang itu melibatkan penyertaan lebih 3,000 kawasan rukun tetangga (KRT) atau 40 peratus daripada keseluruhan KRT di seluruh negara.

"Program seumpama ini yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum dan agama serta kerjasama pelbagai pihak dan agensi menggambarkan bagaimana masyarakat Malaysia hidup saling menghormati, bertoleransi, serta bekerjasama.

"Besarlah harapan saya melihat pelbagai lapisan masyarakat bersama pemimpin-pemimpin komuniti saling bekerjasama dalam menganjur dan mengambil peranan yang sememangnya memupuk perpaduan masyarakat pelbagai kaum yang melambangkan keharmonian hidup dalam komuniti,” kata Aaron.

Program yang bermula seawal jam 9 pagi ini dimulakan dengan aktiviti rewang, diikuti dengan pengagihan bubur lambuk kepada kumpulan sasar dan orang ramai melalui segmen Ziarah Rahmah dan Semarak Kasih Ramadan Bersama Komuniti Rahmah 2023.

Turut serta dalam program yang sama adalah agensi-agensi di bawah seliaan Kementerian Perpaduan Negara seperti Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Arkib Negara, Perpustakaan Negara Malaysia dan Yayasan Sukarelawan Siswa.

Program Gerak Rahmah 2023 adalah merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa, mempertingkat dan mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan serta kesukarelawanan dalam komuniti khususnya dalam mendukung aspirasi Kerajaan untuk membangunkan Komuniti Rahmah.