ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terpaksa menahan kesakitan hampir 15 minit selepas kaki kanannya tersangkut pada tangga eskalator di tingkat dua sebuah pasar raya di Jalan Lebuhraya Darul Aman hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.54 petang.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi dan mendapati kanak-kanak itu sedang menahan kesakitan.

"Setelah berjaya menenangkan mangsa anggota menggunakan peralatan khas mengambil masa enam minit untuk mengeluarkan kaki kanan mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan pada ibu jari kaki kanan dan diberi rawatan awal sebelum di hantar ke sebuah hospital swasta oleh pihak pengurusan pasar raya terbabit.