KOTA TINGGI: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang maut selepas dipercayai dicampak ke dalam sungai di Kampung Padang, di sini, dilaporkan pulang bersama bapanya ke Tanjung Sedili bagi mendapatkan ubat sebelum kejadian tragis itu berlaku.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Muszaide Makmor, berkata mangsa pulang bersama bapanya, 40, yang menetap serta mengusahakan kedai makan di Muar.
Menurutnya, suspek turut mengikuti mereka pulang ke Tanjung Sedili sebelum dipercayai bertindak di luar jangkaan.
"Malangnya suspek yang dipercayai kurang kewarasan bertindak di luar jangkaan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Muszaidi berkata, beliau turut menziarahi bapa mangsa di Klinik Kesihatan Tanjung Sedili pada petang Isnin.
Beliau pada masa sama menyampaikan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan berkenaan.
"Moga keluarga ini diberikan ketabahan atas ujian yang sangat berat ini," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan, Puteri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, 5, maut dipercayai lemas selepas dicampakkan ke sungai oleh bapa saudaranya di Kampung Padang, Tanjung Sedili.
Mengimbas kejadian, Mahani berkata, mereka sempat bersarapan bersama sebelum cucunya meminta izin untuk bermain di luar rumah.
“Puteri kemudian bermain buaian dan selepas itu saya mula tercari-cari dia. Saya tanya bapanya tetapi dia juga tak tahu.
“Saya rasa tak sedap hati lalu ajak menantu pergi ke sungai sebelum ternampak selipar Puteri atas tebing,” ujarnya.
Menurut Mahani, cucunya kemudian ditemukan dalam keadaan tertiarap di tebing sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata suspek ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 9.30 pagi.
Katanya, sebelum kejadian, suspek dipercayai mencampak mangsa ke dalam sungai sebelum mengamuk dengan membawa parang dan mengejar bapa mangsa yang berusia 40 tahun. - Sinar Harian