Kesedaran membina budaya sihat di kalangan rakyat perlu disemarakkan lagi dengan mengamalkan sukan seharian untuk kekal aktif selain menjaga kesihatan diri.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata budaya sukan ini perlu disemarakkan agar ia dijadikan satu cara hidup rakyat Malaysia dan melahirkan atlit yang cemerlang untuk masa depan dan meningkatkan taraf sukan negara.

"Sukan ini untuk semua bukan untuk yang belia atau muda dan ingat ini, kalau kita rasa tidak dapat benda motivasi yang positif, ingat benda yang boleh menakutkan kita seperti serangan jantung.

“Jadi banyak cara yang kita boleh cegah. Dan pencegahan lebih baik daripada rawatan," kata Khairy dalam temubual Agenda Awani di Pusat Penyiaran Asia, Bukit Jalil sempena Hari Sukan Negara, ‘Get Fit’.

Menurut Khairy, kementeriannya mensasarkan lebih 60 peratus rakyat aktif bersukan dan menerapkan elemen kecergasan ini agar menjadi rutin dalam kehidupan ekoran lebih 45 peratus rakyat negara ini mengalami obesiti serta penyakit berbahaya lain iaitu kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Temubual pengacara Agenda Awani, Nazri Kahar dengan Khairy pada Rabu
Tambahnya, beberapa acara ikonik akan diadakan di peringkat kebangsaan dan negeri, di mana beliau menjangkakan penglibatan lebih tiga juta rakyat ketika Hari Sukan Negara nanti, sekaligus merapatkan hubungan di antara rakyat tanpa mengira perbezaan kaum mahupun kepercayaan agama.

Program anjuran Astro itu merupakan sokongan kepada Hari Sukan Negara yang akan diadakan pada 10 Oktober depan.

Lebih 600 kakitangan Astro akan menyertai larian sejauh 2.6 kilometer dan beberapa acara lain turut diadakan bagi memeriahkan sambutan itu.