Budaya bersukan di ibu kota cermin perubahan positif - Fahmi

Fahmi berkata, perkembangan ini mencerminkan perubahan positif dalam gaya hidup warga bandar yang sebelum ini sering terikat dengan kesibukan kerja dan kesesakan lalu lintas. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Budaya bersukan di ibu kota kini semakin rancak dengan penyertaan masyarakat dalam pelbagai aktiviti seperti Ironman, maraton, berbasikal serta sukan baharu termasuk pickleball.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkembangan ini mencerminkan perubahan positif dalam gaya hidup warga bandar yang sebelum ini sering terikat dengan kesibukan kerja dan kesesakan lalu lintas.
"Aktiviti Ironman dan maraton buktikan bahawa budaya bersukan semakin popular dan tular dan satu penularan yang sangat sihat.
"Bagi penduduk Kuala Lumpur dan Lembah Klang... yang sering memberi fokus kepada kerja dan seringkali bercakap tentang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas (sebelum ini)... kini ramai sudah ikut berlari, berbasikal dan ada sukan-sukan baharu termasuk pickleball dan lain-lain... ini menunjukkan perubahan positif," katanya.
Fahmi menambah, aktiviti seperti berlari, berbasikal dan sukan baharu menunjukkan masyarakat kini lebih menitikberatkan kesihatan, sekali gus mengurangkan tekanan akibat rutin harian.
Dalam pada itu, Fahmi turut memuji inisiatif penganjuran program Kayuhan Amal Mesra Wilayah Persekutuan 2025 oleh Kelab Berbasikal Bandaraya Kuala Lumpur yang ditaja oleh Aras Integrasi Sdn Bhd.
Katanya, acara ini juga satu simbolik keharmonian dan perpaduan menerusi aktiviti riadah berbasikal berkonsepkan muhibah, penyatuan, dan kekeluargaan.
Beliau berkata, ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta dari dalam dan luar ibu negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


