KUALA LUMPUR: Saiz keluarga di Malaysia semakin mengecil dengan purata isi rumah menurun kepada 3.8 orang pada 2024 berbanding 4.0 orang pada 2014, menurut dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata dapatan itu turut menunjukkan perubahan corak pembentukan keluarga apabila purata umur perkahwinan pertama meningkat kepada 27.1 tahun bagi lelaki dan 24 tahun bagi wanita.
Beliau berkata bagaimanapun, hasrat untuk berkeluarga masih kukuh apabila lebih lapan daripada 10 penduduk bujang menyatakan keinginan untuk berkahwin, dengan ketiadaan calon sesuai (50.6 peratus) dan faktor kewangan (47.2 peratus) antara sebab utama mereka masih belum berbuat demikian.
"Selain itu, 63.9 peratus remaja masih mempunyai pengetahuan kesihatan reproduktif yang rendah dan 24.7 peratus menunjukkan sekurang-kurangnya tiga simptom masalah kesihatan mental.
"Bagi warga emas pula, 45.9 peratus menerima sumber kewangan daripada anak, sekali gus menunjukkan bahawa keluarga terus menjadi tunjang sokongan pada usia emas," katanya ketika berucap pada Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2026 (PERKKS26) di sini hari ini.
Sementara itu pada sidang media, Nancy berkata Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan intervensi setiap lima tahun dalam tempoh antara kajian kependudukan bagi merancang program dan dasar berdasarkan data serta keperluan semasa penduduk.
“Walaupun belum semua perkara dapat dilaksanakan, usaha ke arah itu sedang berjalan. Sebab itu kerjasama kita bukan sahaja dalam negara. Kita bekerjasama dengan Dana Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) Malaysia, yang membantu dan memberi input supaya kita dapat menambah baik apa yang berlaku dalam negara kita,” katanya.
Nancy berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga akan membentangkan kertas Kabinet kepada Jemaah Menteri bagi memaklumkan tindakan yang telah dilaksanakan susulan kajian berkenaan.
“Kita akan bentangkan kertas Kabinet untuk memaklumkan apa yang kita telah lakukan. Kita tidak dapat menghuraikan semuanya secara terperinci tapi yang penting selepas kita maklumkan kepada Kabinet, mereka akan kongsikan hasil keputusan berdasarkan bukti yang diperoleh daripada kajian yang telah dijalankan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nancy mengulas mengenai penderaan dalam kalangan keluarga dengan memaklumkan tekanan ekonomi, emosi tidak terkawal dan latar belakang keluarga antara faktor yang menyumbang kepada kejadian jenayah tersebut.
Beliau berkata kementerian menerusi agensi berkaitan termasuk Jabatan Pembangunan Wanita dan Yayasan Kebajikan Negara melaksanakan pelbagai program intervensi serta menyediakan rumah perlindungan bagi membantu mangsa penderaan.
“Khidmat kaunseling turut diberi perhatian dengan menawarkan bantuan bukan sahaja kepada mangsa, malah pelaku penderaan yang bersedia mendapatkan bantuan untuk memperbaiki diri,” katanya.
-- BERNAMA