PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan kuota tambahan 100 liter diesel bersubsidi kepada pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, menerusi mekanisme BUDI MADANI, selain kuota asas 200 liter sebulan pada harga RM2.10 seliter.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dasar yang berkuat kuasa pada 1 Julai itu dirangka bagi memenuhi keperluan warganegara Malaysia yang layak menggunakan kenderaan diesel.
Menurut beliau, ia termasuk bagi perjalanan jarak jauh dan aktiviti pengangkutan di kawasan pedalaman.
“Jika seseorang memiliki jip atau pikap dan kenderaan itu sering digunakan untuk membawa barang atau penumpang, terutama untuk perjalanan jarak jauh di kawasan pedalaman, mereka layak menerima tambahan 100 liter,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel Di Bawah BUDI MADANI di sini hari ini.
Pada masa sama, Amir Hamzah berkata berdasarkan pengiraan kerajaan, kuota 300 liter diesel bersubsidi sebulan mampu menampung perjalanan sehingga 172 kilometer sehari.
Jelasnya, anggaran itu dibuat berdasarkan andaian 22 hari bekerja sebulan dan penggunaan bahan api sekitar tujuh hingga sembilan liter bagi setiap 100 kilometer.
"Jika dilihat berdasarkan kuota 300 liter itu, seseorang boleh melakukan perjalanan ulang-alik antara Marudi dan Miri, iaitu kira-kira 172 kilometer sehari,” katanya.
Amir Hamzah berkata mekanisme itu dilaksanakan seperti BUDI95, di mana pengguna hanya perlu menggunakan MyKad bagi menikmati harga diesel bersubsidi.
Tambahnya, pemilik kenderaan yang layak boleh mengemukakan permohonan kuota tambahan diesel bersubsidi menerusi portal BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my, dengan permohonan dibuka mulai hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga diesel bersubsidi di seluruh negara ditetapkan pada RM2.10 seliter, termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan yang sebelum ini menikmati harga RM2.15 seliter.