KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bersedia dan akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara sempena pembukaan sempadan Jumaat ini.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, segala persediaan telah dilakukan termasuk mengerahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam mengawal keselamatan di pintu sempadan.

"Bila kita buka sempadan, kita balik kepada asal, jadi PDRM seperti mana agensi lain kita sudah buat persediaan khususnya di kawasan sempadan kita di Utara, Selatan Semenanjung dengan negara jiran kita, begitu juga di Sabah dan Sarawak.

"Elemen Gerakan Am kita telah membuat pemantauan dan akan dipertingkatkan, kita harap dengan pembukaan sempadan ini, ia akan memudahkan orang ramai," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Buku Jenayah Siber di Malaysia di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Selasa.

Tambah Acryl, beberapa program melibatkan masyarakat dan PDRM turut akan dilancarkan di Kota Bharu dan Kedah dalam masa terdekat.

"Pada masa sama PDRM akan terus meningkatkan (kawalan sempadan), kita akan melancarkan satu program di Kota Bharu dan Kedah oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).

"(Program ini) untuk kita tujukan kepada orang ramai bahawa kita juga telah bersiap sedia untuk menangani apa juga perkara timbul akibat pembukaan sempadan pada 1 April ini," katanya lagi.