Peminat Porsche yang mahukan prestasi model yang paling hampir dengan sebuah kereta lumba akan pasti terdorong kepada model GT3 RS. Dan baru-baru ini pengedar rasmi Porsche di Malaysia Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah melancarkan model 911 (generasi 991) GT 3 RS ke pasaran Malaysia. Tapi sebelum bercerita lebih panjang, harganya adalah RM1.75 juta – sebelum cukai, pendaftaran dan insurans. Dan hanya 20 unit dibawa masuk. Semuanya dah ada pembeli.

Jadi apakah yang boleh seorang pemilik 911 GT 3 RS dapat? – Sebuah kereta yang digambarkan oleh Arnt Bayer, ketua pegawai eksekutif SDAP sebagai, “Belum pernah lagi sebuah kereta GT mempunyai kesamaan sebagaimana jenis ‘Cup’ ataupun ‘RSR’, dari segi visual dan fungsi.” Cup dan RSR merujuk kepada varian 911 yang khusus untuk kegunaan perlumbaan di litar.

Enjin enam silinder jenis boxer di belakang kereta ini menghasilkan 500hp dan 460Nm yang diuruskan oleh kotak gear klac berkembar PDK tujuh kelajuan. Ini membolehkan ia memecut daripada rehat ke 100km/j dalam masa 3.3 saat, dan ke 200km/j dalam masa 10.9 saat.

Pengurangan berat diberikan fokus, dan ini termasuk penggunaan magnesium sebagai bahan membuat bumbung – pertama kali ia digunakan! Selain itu gentian fiber dan juga gentian fiber diperkuatkan plastik (CFRP) turut digunakan untuk membuat kebanyakkan komponen badan kereta ini. Oleh sebab itu, ia 10kg lebih ringan daripada versi GT3 ‘biasa’.

Keunikan tambahan adalah liang udara yang besar di kedua-dua fender hadapan sepertimana yang dapat dilihat pada jentera lumba kelas LMP. Mengikut Porsche, tugasnya adalah untuk menaikkan daya tekan pada gandar hadapan.

Sepertimana GT3 asas, casis GT3 RS ini mendapat bantuan stereng gandar belakang di mana ia membantu untuk memberi kelincahan dan stabiliti ketika ia diperlukan. Dengan semua ciri-ciri ini, Porsche 911 GT3 RS mampu untuk mengelilingi litar Nurburgring di Jerman dengan masa 7 mini 20 saat, satu masa yang lebih pantas daripada rekod yang dicatat model lagenda Carrera GT iaitu 7 minit 29 saat.