Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Butterworth sebelum ini yang membebaskan bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (Mat Sabu) daripada dua pertuduhan memfitnah anggota keselamatan Bukit Kepong dalam ceramahnya di Tasek Gelugor pada tahun 2011.

Hakim Lim Chong Fong membuat keputusan itu selepas menolak rayuan yang dikemukakan Ketua Unit Pendakwaan Datuk Razali Che Ani terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth pada 8 Julai yang membebaskan Mohamad Sabu terhadap pertuduhan itu.

Chong Fong dalam penghakimannya berkata, keputusan dibuat selepas meneliti semua hujahan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

Katanya, apa yang disebut oleh Mat Sabu mengenai insiden Bukit Kepong itu bukan satu fitnah tetapi penulisan itu telah ditokok tambah dan disensasikan oleh akhbar Utusan Malaysia.

Tambahnya, tiada sebarang kecacatan dalam keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen terhadap kes berkenaan.

Sementara itu, Mat Sabu ketika ditemui di luar mahkamah berkata beliau berterima kasih kepada peguamnya Mohamed Hanipa Maidin.

“Saya sangat berterima kasih kepada barisan para peguam dan orang ramai yang memberi sokongan terutama sekali isu ucapan saya itu menjadi sensasi seperti yang disebut oleh hakim tadi,” katanya kepada wartawan di sini hari ini.

Mat Sabu didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Feb 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor dekat sini pada 21 Ogos 2011.

Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta anggota keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.