Skip to main content

Dunia

Singapura sedia serlah potensi tenaga boleh baharu bersama Indonesia - PM Lawrence Wong

71735280342_tbLawrenceWong.jpg
Lawrence Wong berkata perkembangan terkini di Asia Barat menekankan lagi kepentingan keselamatan dan kepelbagaian sumber tenaga. - Gambar fail
Advertisement

SINGAPURA: Singapura bersedia untuk mempertingkat amalan perkongsian dengan Indonesia bagi menyerlahkan potensi besar tenaga boleh baharu negara berkenaan, kata Perdana Menteri, Lawrence Wong.

Beliau berkata, perkembangan terkini di Asia Barat menekankan lagi kepentingan keselamatan dan kepelbagaian sumber tenaga.

Dana kekayaan negara Indonesia, Danantara, pada Isnin memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Keppel Electric, Sembcorp Industries dan Singapore Energy Interconnections sempena Sesi Permukiman Pemimpin Indonesia-Singapura tahunan di Jakarta.

Wong berkata, kolaborasi berkenaan akan menyediakan satu hala tuju yang jelas bagi rundingan dan perbincangan antara pihak terlibat, sekali gus membuka jalan kepada projek elektrik merentas sempadan Singapura-Indonesia.

"Kami percaya projek seumpama ini membawa situasi menang-menang kepada kedua-dua negara, dan ia juga akan menjadi blok binaan penting untuk grid kuasa ASEAN yang lebih luas bagi memperkukuh keselamatan tenaga di seluruh rantau kita," katanya dalam satu sidang media bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Isnin.

Sementara itu, Wong turut menegaskan kembali komitmen Singapura untuk meneruskan penglibatan bersama Indonesia bagi memperkukuh Kepusatan ASEAN dan pembangunan serantau apabila negara Kota Singa itu mengambil alih jawatan pengerusi tahun depan.

"Tahun depan, ketika Singapura bersiap sedia untuk menjadi Pengerusi ASEAN, kami akan melakukan libat urus dan berunding secara rapat dengan Indonesia untuk membentuk agenda bagi tahun kepengerusian kami.

"Singapura juga akan terus menyokong keutamaan pembangunan Indonesia menerusi program pembinaan kapasiti, termasuk dalam bidang seperti penjagaan kesihatan dan teknologi pertanian," katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar Singapura dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pemimpin menyaksikan penyampaian dan pertukaran MOU baharu dalam kolaborasi kredit karbon, hantaran eksport elektrik merentas sempadan, serta pembangunan aset transmisi berkaitan perdagangan elektrik merentas sempadan (CBET).

Ia turut merangkumi kerjasama alam sekitar, kerjasama digital, serta pertukaran maklumat teknikal dan kolaborasi dalam hal ehwal nuklear.

"Kedua-dua pemimpin menyambut baik bidang kolaborasi baharu dalam teknologi kewangan, kerjasama penyelidikan, pemerkasaan wanita dan perlindungan kanak-kanak, penstrukturan semula hutang merentas sempadan, produk kesihatan dan ubat-ubatan, serta integrasi rantaian bekalan serantau," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement