Syarikat penerbitan, Buku Fixi menang anugerah utama kecemerlangan industri buku di Pesta Buku Antarabangsa London yang disampaikan pada hari pertama pesta buku itu yang dibuka pada Selasa.

Syarikat yang mula beroperasi tiga tahun lalu itu menang anugerah The Bookseller International Adult Trade Publisher Award.

"(Fixi) mencapai reputasi yang luar biasa dalam masa yang singkat termasuk merebut penulis besar untuk senarai terjemahannya," kata kenyataan media yang dikeluarkan oleh penganjur pesta buku itu.

Penganugerahan itu dianjur bersama oleh Persatuan Penerbit United Kingdom.

"Anugerah itu bukanlah bermakna kami hebat. Ia bermakna kami ada potensi yang besar! Syukur," kata pengasas Buku Fixi, Amir Muhammad melalui Facebook.

Fixi yang menerbitkan buku pertamanya pada 2011 memberi tumpuan kepada novel urban kontemporari. Dalam usianya yang singkat, ia telah menerbitkan 60 buah judul setakat ini manakala dua daripadanya Pecah dan Zombijaya dipindahkan ke layar perak.

Selain novel-novel Fixi, syarikat itu juga menerbitkan buku tempatan dalam bahasa Inggeris di bawah label Fixi Novo serta menerbitkan semula buku-buku ‘lama’ di bawah label Fixi Retro iaitu Si Tora Harimau Jadian yang dipadankan daripada filem arahan Tan Sri P. Ramlee serta kumpulan cerpen Sasterawan Negara, Usman Awang dengan judul Yang Nakal-Nakal.

Amir Muhammad, pengasas Buku FixiPada tahun lalu, ia menerbitkan terjemahan karya laris dunia di bawah label Fixi Verso. Dua novel terjemahan pertama yang diterbitkannya ialah Joyland hasil karya Stephen King dan The Ocean at the End of the Lane karya Neil Gaiman.

"Sepanjang menyiapkan Pesta Buku London ini, saya dan pasukan saya bertuah kerana bertemu dengan banyak individu yang memberikan ilham dan belajar tentang inisiatif yang mengkagumkan daripada syarikat penerbit buku dari serata dunia.

"Adalah sesuatu yang menggembirakan apabila kami dapat meraikan bakat-bakat antarabangsa yang terbaik pada penganugerahan ini.

"Daripada syarikat baru seperti Fixi di Malaysia sampailah kepada penerbit yang mapan seperti agen dari Denmark, Anneli Høier, pemenang malam ini menunjukkan dunia penerbitan antarabangsa yang sangat menarik," kata pengarah Pesta Buku London, Jacks Thomas.


Antarabangsa

Senarai pemenang anugerah itu mencerminkan sifatnya yang bertaraf antarabangsa dengan pengiktirafan kepada syarikat penerbit antaranya dari Belorussia, Pakistan, India, Denmark, Australia, Amerika Syarikat dan China.

Anugerah itu adalah pengiktirafan United Kingdom kepada syarikat penerbit dan individu antarabangsa yang terlibat dalam industri buku dan mengecualikan syarikat dari UK untuk kategori utama.

Industri buku Amerika Syarikat mendahului senarai pemenang dengan memenangi tiga kategori. University of Chicago Press menang anugerah Akademik dan Profesional, Anugerah Buku Terjemahan Terbaik menang anugerah Inisiatif Sastera Terjemahan manakala Robert Kirkman yang mencipta Walking Dead menang anugerah penggunaan harta intelek terbaik.

"Pesta Buku London adalah tempat yang sesuai untuk meraikan pencapaian dunia penerbitan antarabangsa dan pelbagai bakat dalam industri perbukuan," kata Ketua Eksekutif Persatuan Penerbit UK, Richard Mollet.

Pesta buku itu turut memberi anugerah pencapaian seumur hidup kepada agen penerbitan, Deborah Rodgers dari Rogers, Coleridge and White yang antara lain bertanggungjawab menerbitkan karya-karya penulis besar dunia seperti Salman Rushdie, Philip Roth, Peter Carey, Kazuo Ishiguro dan Hanif Kureishi.

Pesta buku itu memberikan pengiktirafan kepada 15 kategori yang merangkumi penerbitan antarabangsa, penerbitan akademik, penerbitan kanak-kanak, rangkaian pembekal dan inovasi digital. Ia dihakimi oleh panel juri dari UK daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran.