Skip to main content

Malaysia

Bulan Kebangsaan: Jalur Gemilang ceriakan laman rumah pusaka 100 tahun di Jelebu

JELEBU, 23 Ogos -- Hampir 30 Jalur Gemilang menghiasi sebuah rumah pusaka berusia lebih 100 tahun di Jelebu setiap kali menjelang Bulan Kebangsaan, sekali gus menjadi simbol kecintaan pemiliknya, Abdul Karim Abdul Rahman, 83, terhadap tanah air yang menjadi tempatnya bernaung.  Bagi Abdul Karim, pemasangan Jalur Gemilang bukan sekadar menceriakan kediaman, sebaliknya menjadi tanda syukur dan penghargaan terhadap kemerdekaan yang dinikmati rakyat Malaysia hari ini.  Sudah hampir 25 tahun menetap di rumah pus
Bagi Abdul Karim, pemasangan Jalur Gemilang bukan sekadar menceriakan kediaman, sebaliknya menjadi tanda syukur dan penghargaan terhadap kemerdekaan yang dinikmati rakyat Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

JELEBU: Sudah menjadi kelaziman bagi Abdul Karim Abdul Rahman sejak 25 tahun lalu untuk menghiasi halaman rumah pusaka berusia lebih 100 tahun miliknya dengan Jalur Gemilang setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan, sebagai bukti semangat patriotik yang terus membara dalam dirinya.

Tahun ini, Abdul Karim, 83, bersama isterinya, Aini Mad Zin, 75, menghiasi halaman rumah mereka di Kampung Kemin, di sini, yang berkeluasan hampir 0.404 hektar dengan hampir 30 helai Jalur Gemilang.

Bagi pasangan pesara swasta itu, rumah berkenaan bukan sekadar tempat berteduh, sebaliknya menyimpan sebahagian daripada sejarah kehidupan Aini yang membesar di situ bersama lima adik-beradiknya.

Keadaan itu mendorong Abdul Karim untuk memastikan rumah pusaka berkenaan terus terpelihara, selain menjadi tempat keluarga berkumpul setiap kali pulang ke kampung.

Usia yang semakin lanjut juga bukan penghalang buat pasangan itu untuk menceriakan halaman rumah dengan Jalur Gemilang yang sudah menjadi tradisi mereka setiap tahun sejak kembali menetap di kampung berkenaan kira-kira 25 tahun lalu, selepas bersara dan meninggalkan Kuala Lumpur.

Malah, kediaman mereka antara yang paling menyerlah di kampung berkenaan setiap kali menjelang Bulan Kebangsaan.

“Setiap Jalur Gemilang yang dikibarkan mempunyai makna tersendiri kerana ia mengingatkan kita kepada perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu dalam membebaskan negara daripada penjajahan.

“Menjadi satu kemestian setiap tahun saya dan isteri menghiasi halaman dengan bendera,” katanya kepada Bernama.

Bapa kepada empat anak itu berkata sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, semangat patriotik perlu dipupuk dalam keluarga dan diterapkan kepada generasi muda agar penghargaan terhadap sejarah serta kemerdekaan negara tidak terhenti setakat sambutan Bulan Kebangsaan.

Dalam pada itu, Norfaizah Abdul Karim, 45, berkata ibu bapanya memilih untuk berpindah ke kampung berkenaan selepas bersara bagi menikmati kehidupan yang lebih tenang, jauh daripada hiruk-pikuk kota Kuala Lumpur, selain menjadikan kediaman itu sebagai tempat keluarga berkumpul.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata ibu bapanya seronok menghiasi halaman dengan Jalur Gemilang kerana aktiviti berkenaan bukan sahaja menceriakan kediaman, malah mengisi masa mereka dengan kegiatan yang bermanfaat dan kreatif.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement