NATIONAL
Bulan Pemutihan PERKESO lanjut hingga 31 Mei 2025 - Steven Sim

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, Steven Sim Chee Keong dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, Azirruan Arifin pada sidang media lanjutan tarikh Bulan Pemutihan. -PERKESO
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melanjutkan pelaksanaan Bulan Pemutihan yang merangkumi pendaftaran dan caruman pekerja oleh majikan dengan pengecualian kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) hingga 31 Mei ini.
Ringkasan AI
- PERKESO melanjutkan Bulan Pemutihan hingga 31 Mei, memberi pengecualian kompaun, pendakwaan, dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) kepada majikan.
- Peningkatan 40% dalam pendaftaran majikan dan pekerja baharu direkodkan sepanjang pelaksanaan Bulan Pemutihan.
- Majikan yang gagal mendaftar pekerja boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000 dan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.
"Sebanyak 8,234 majikan dan 61,746 pekerja baharu berdaftar, termasuk 46,094 pekerja tempatan dan 15,652 pekerja asing.
"Sebanyak 913 notis FCLB bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) melibatkan 433 majikan baharu berjumlah RM226,980 telah dikecualikan dalam tempoh ini.
"Selain itu, bagi majikan baharu berdaftar, yang dikenakan FCLB dan tindakan kompaun dikecualikan sepenuhnya,” katanya menerusi sidang media di ibu negara pada Jumaat.
Menerusi sidang media sama, Steven Sim mengumumkan penawaran pengurangan sehingga 50 peratus bagi FCLB ke atas majikan sedia ada kecuali yang mempunyai kes tuntutan faedah dan pendakwaan serta Notis Kompaun.
Ia termasuklah melibatkan kesalahan gagal daftar perusahaan / pekerja dan gagal / lewat melapor kemalangan menerusi agensi dibawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Tawaran pengurangan sebanyak 50 peratus ini melibatkan 215,172 majlkan yang terlibat dengan tunggakan FCLB Akta 4 dan Akta 800 sebanyak RM100 juta dengan 198 majikan yang masih mempunyai tunggakan bayaran kompaun di bawah kedua-dua Akta sebanyak RM990,000.
“Majikan diseru untuk menyelesaikan FCLB dan Notis Kompaun dalam tempoh tawaran berkenaan dan kegagalan mengambil peluang ini akan mengakibatkan tindakan pendakwaan diambil selepas tempoh tawaran pembayaran khas ini berakhir," jelasnya.
Steven Sim turut memaklumkan, inisiatif pelanjutan tempoh pemutihan ini mengambil kira perayaan Aidilfitri dan cuti Hari Pekerja yang lalu, sekali gus memberi peluang kedua kepada majikan untuk tampil mendaftar secara sukarela.
"Pelanjutan tempoh ini adalah mesej kepada majikan yang belum melaksanakan tanggungjawab mendaftar pekerja mereka untuk segera merebut peluang bagi mengelakkan kompaun dikenakan seterusnya berdepan tindakan pendakwaan dan FCLB selepas tempoh ini tamat.
"Majikan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM5,000.00 mengikut kesalahan yang dilakukan dan FCLB juga akan dikenakan ekoran kegagalan membayar caruman dalam tempoh yang ditetapkan.
“Bahkan mereka boleh didakwa di mahkamah dan jika disabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali," tambahnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami