MELAKA: Kesemua tujuh blok bangunan kelas dan pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, di sini rosak teruk selepas dibadai ribut, petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Pengetuanya, Ramli Abdullah berkata, daripada tujuh blok sekolah itu, satu daripadanya yang mempunyai pejabat pentadbiran, dua bilik guru dan lapan bilik kelas mengalami kerosakan lebih 80 peratus.

Katanya, lapan bilik darjah yang turut terjejas telah disiapkan untuk pelajar menghadapi peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Isnin ini.

“Peperiksaan percubaan SPM akan bermula Isnin ini dan kalau keadaan selamat kita akan teruskan di bangunan yang tidak rosak dan mungkin sebahagian pelajar terpaksa direhatkan sementara.

“Kita melihat kepentingan pelajar... sebab kita tidak tahu status (pengoperasian) macam mana dan kita tunggu penilaian dibuat pihak berkaitan terutamanya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” katanya ketika ditemui hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kejadian itu juga tidak melibatkan kerosakan struktur blok asrama yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

“Ketika kejadian sebenarnya terdapat kira-kira 10 guru dan pelajar Tingkatan Enam yang berada di kawasan sekolah, namun kesemua mereka sempat menyelamatkan diri ke ruang yang lebih selamat.

“Buat masa ini pihak kami masih menunggu arahan selanjutnya daripada JPN berhubung status pengoperasian sekolah serta penilaian anggaran kerugian,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata beliau telah mengarahkan agensi terlibat termasuk JPN dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat penilaian sekali gus mempercepatkan proses membaik pulih kesemua kerosakan terjejas.

“Sebenarnya kalau ikut lawatan saya tadi bersama dengan pegawai JPN, kita perasan ada kerosakan hampir di semua blok bangunan, cuma blok C yang paling teruk terjejas.

“Pihak kami telah maklumkan pada semua agensi kerajaan yg berkenaan termasuk JPN dan JKR yang mana mereka maklumkan akan buat penilaian dan mulakan proses pemulihan kerosakan ini secepat mungkin,” katanya selepas meninjau keadaan sekolah berkenaan.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kira-kita pukul 4 petang sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan bomba telah memastikan tiada sebarang risiko berbahaya di kawasan berkenaan sebelum operasi ditamatkan pada pukul 6.47 petang.