KENINGAU: Kerajaan diminta menyalurkan bantuan vaksin Sinovac sumbangan dari negara China  kepada Sabah agar program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini dapat dteruskan dan berjalan dengan lancar.

Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu perlu diberikan pertimbangan oleh kerajaan pusat  bagi memenuhi keperluan PICK yang sedang berjalan lancar di negeri ini.

"Kita memang masih ada bekalan vaksin ketika ini, bagaimanapun ekoran kerancakan pemberian vaksin di bawah PICK yang sedang berjalan rancak di seluruh daerah ketika ini, kita perlu bersedia awal agar bekalan sentiasa mencukupi.

"Ini bagi memenuhi keperluan rakyat yang masih ramai belum menerimanya khususnya di kawasan luar bandar." Katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan media Menteri Luar Datuk Seri Hishammudin Hussein pada Rabu tentang kesediaan China dan juga Jepun menyumbang vaksin kepada Malaysia.

Menurut Bung sumbangan 500,000 dos vaksin Sinovac-Coronovac ini perlu di hantar terus ke Sabah di mana ia sesuai digunakan untuk pemberian PICK khususnya di kawasan luar bandar di negeri ini.

"Walaupun pemberian (vaksin) berjalan rancak ketika ini, namun tidak dinafikan masih ramai dalam kalangan penduduk di negeri ini di luar bandar dan kawasan pedalaman belum menerimanya atas faktor komunikasi dan kurang kefahaman tentang kebaikan mengambil vaksin," katanya.



Sementara itu, menurut Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau, Dr Mohamad Norhaizam Ahmad@Narawi, beliau menyokong hasrat kerajaan negeri itu kerana melihat keperluan mengekalkan momentum pemberian vaksin di kawasan pedalaman.

"Saya menyokong hasrat yang disuarakan tersebut kerana ia bagi memastikan bekalan vaksin sentiasa berada di tahap optimum.

"Kita kena pastikan stok vaksin sentiasa banyak di setiap tempat supaya momentum pemberian vaksin tidak terganggu.

"Sebab setiap hari kapasiti pemberian vaksin semakin bertambah di setiap Pusat Pemberian Vaksin PPV dan banyak juga PPV bergerak yang beroperasi di kampung-kampung ketika ini," katanya yang dihubungi pada Khamis bagi mengulas mengenai hasrat kerajaan negeri itu.