Seorang lelaki yang videonya tular berhubung tindakan kejam bersama rakannya membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan memasukkan haiwan itu ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri, dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini.
Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas pemandu teksi A. Mohanraj, 42, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah, pada sebutan kes hari ini.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 14 Sept 2018.
Lelaki itu didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas dengan kejamnya menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di premis dobi di Taman Gombak Ria, Batu Caves di sini antara 12.54 tengah malam dan 1 pagi, pada 11 Sept tahun lepas.
BACA: Polis buru tiga lelaki kes bunuh kucing
Pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Sebelum ini rakan Mohanraj, S.Satthiya, 27, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan sama manakala seorang lagi pekerja kontrak K. Ganesh, 42, masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor Roslan Mohd Isa memohon hukuman berat dengan alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah zalim.
“Kes ini melibatkan kepentingan awam kerana menyaksikan tingkah laku menganiayai dan menzalimi haiwan yang tidak mampu melawan adalah satu sikap yang tidak boleh diterima masyarakat.
“Sebagai seorang manusia yang berakal tertuduh sepatutnya melindungi haiwan kerana haiwan tersebut (kucing) bukan haiwan berdosa atau berbahaya,” katanya.
Mohanraj yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama serta perlu menanggung keluarga.
“Saya berasa kesal dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini lagi.
“Semasa saya berada dalam tahanan saya sering diejek dan dihina oleh banduan lain atas kesalahan saya ini,” katanya.
Mengikut fakta kes, pada 11 Sept tahun lepas pengurus dobi tersebut telah menerima panggilan daripada seorang pelanggan wanita yang memberitahu bahawa terdapat bangkai seekor kucing yang berada di dalam mesin pengering baju kedai dobi layan diri tersebut.
Pengurus dobi kemudian mengarahkan pekerja kedai membuat pemeriksaan di dalam mesin pengering itu dan mendapati seekor bangkai kucing berada di dalam mesin itu.
Hasil pemeriksaan rakaman litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat dua lelaki dan seorang daripada lelaki tersebut telah mengambil seekor kucing yang berada di bawah meja lipat baju di kedai dobi tersebut dan mencampakkan kucing itu ke dalam sebuah mesin pengering baju.
Kedua-dua tertuduh kemudian memasukan token dan menekan butang mula sebelum beredar meninggalkan kedai dobi berkenaan.
Pengadu terpaksa menutup sementara kedainya akibat gangguan bau bangkai yang sangat teruk.
Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis dan tangkapan dibuat pada 14 Sept tahun lepas.
Pegawai penyiasat telah mengambil sampel bulu dan darah yang berada di dalam mesin pengering baju itu untuk pemeriksaan DNA.
Laporan analisis DNA mengesahkan bahawa DNA yang dijumpai di dalam mesin pengering baju itu berpadanan dengan DNA seekor kucing jenis domestik.
Sebelum ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam tiga individu yang membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin pengering berkenaan.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut kemudian tersebar di media sosial dan menerima kecaman masyarakat sebelum Persatuan Haiwan Malaysia bertindak membuat laporan polis dan kedua-dua individu itu kemudiannya ditahan polis.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie.
Turut hadir mengikuti prosiding hari ini adalah Pengarah Penguatkuasa JPV Malaysia Zaharinan Abd Aziz.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Jan 17 2019
Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas pemandu teksi A. Mohanraj (kiri) selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah, pada sebutan kes hari ini. - Gambar fail
BNM umum penyelesaian kenaikan kadar premium insurans perubatan tidak lama lagi - Fahmi
Bank pusat itu masih memerlukan sedikit masa sebelum membuat pengumuman.
Raja Charles III lawat mercu tanda ikonik Battersea Power Station
Raja Charles III meluangkan masa melawat Battersea Power Station, lokasi ikonik di tebing Sungai Thames, pada Khamis untuk menyaksikan pelbagai aktiviti sempena musim perayaan dan bertemu pemilik perniagaan kecil serta komuniti setempat.
Jualan kenderaan hibrid elektrik dan plug-in sepenuhnya meningkat
Jualan global bagi kenderaan jenis hibrid elektrik dan plug-in sepenuhnya meningkat untuk bulan ketujuh berturut-turut pada bulan November.
Polis tahan Papagomo berkaitan kes tipu kutipan dana
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kes tipu.
Kanada akan bertindak sekiranya Trump teruskan ancaman tarif
Kanada berupaya memotong bekalan tenaga ke beberapa bahagian di Amerika Syarikat jika Presiden Terpilih Donald Trump meneruskan ancaman mengenakan tarif ke atas Kanada.
Sidang kerja ekonomi pusat China atur pelan kerja 2025
Presiden China Xi Jinping dalam ucapannya pada sidang itu merumuskan kerja ekonomi China sepanjang 2024, di samping menganalisis situasi ekonomi semasa, selain mengaturkan kerja ekonomi pada 2025.
Gaji penengah Malaysia belum cukup tangani cabaran kos sara hidup
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Strategic Counsel, Hafidzi Razali, walaupun gaji penengah rakyat, RM2,700 kelihatan memadai di atas kertas, tetapi hakikatnya, lebih separuh rakyat Malaysia bergelut dengan bebanan hidup dan sukar mencapai kualiti asas hidup yang baik. Katanya, masalah ini perlu diatasi secara menyeluruh untuk memastikan rakyat benar-benar merasai manfaat pembangunan negara.
Prospek neutral pada 2025 - Fitch Ratings
Fitch Ratings berpandangan neutral terhadap sektor korporat Asia Pasifik (APAC) pada 2025, mencerminkan kekuatan lembaran imbangan mereka dan prospek pertumbuhan stabil dan sebahagian besarnya mengimbangi turun naik dan ketidaktentuan global terhadap pembangunan ekonomi dan geopolitik.
Pemulihan sektor pelancongan, permintaan pengguna dijangka meningkat
Permintaan pengguna dijangka akan meningkat pada tahun hadapan susulan pemulihan sektor pelancongan.
Keuntungan industri penerbangan global dijangka terus kukuh pada 2025
Industri penerbangan global diunjur memperkukuh keuntungan pada 2025 dengan keuntungan bersih 36.6 bilion Dolar Amerika atau RM161.8 bilion.
Bunuh kucing dengan kejam di kedai dobi, pemandu teksi dipenjara dua tahun
Seorang lelaki yang videonya tular berhubung tindakan kejam bersama rakannya membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan memasukkan haiwan itu ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri.