Kejadian menggemparkan di mana seorang adik sanggup membunuh abangnya dipercayai berpunca daripada sehelai kemeja T.

Siasatan awal polis mendapati suspek bertindak demikian selepas berang dengan tindakan mangsa yang memakai baju pemberian teman wanitanya.

Berlaku pergelutan yang menyebabkan mangsa meninggal dunia di rumah mereka di Kampung Padang Hassan, Kepala Batas, dekat sini, akibat ditikam di belakang leher.

Suspek yang panik kemudian bertindak menyembunyikan mayat abangnya di dalam tong air kosong yang diisi simen.



Mayat mangsa Mohd Hasnul Nizar Khairul Anuar, 34, yang juga seorang duda ditemukan di dalam tong yang disimen itu pagi tadi.

BACA: Adik bunuh abang, simen mayat dalam tong air

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata mayat mangsa dijumpai jam 7 pagi selepas pihaknya menahan suspek yang juga adik mangsa yang sedang tidur di rumah berkenaan.

Beliau berkata suspek ada menceritakan tentang apa yang berlaku kepada seorang lagi abangnya yang kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan tentang kejadian.

Sapii berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh pada petang Jumaat lalu sebelum mayatnya ditemukan hari ini.

Beliau berkata berikutan itu pihaknya merampas pelbagai barangan termasuk sebilah parang dan kereta sorong yang digunakan untuk melakukan pembunuhan itu.

Mangsa tidak bekerja manakala suspek pula bekerja sebagai penjual ayam goreng.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.