IPOH: Dua rakan terlepas hukuman gantung di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membunuh seorang lelaki tanpa niat.

Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Muhammad Iman Divaharan Abdullah, 44, dan GS Suria Sekaran, 27, kerana menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Ling Hua Chai, 47.

Hukuman penjara ditetapkan dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap pada 8 Mac 2020.

Kedua-dua mereka sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mengikut pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, kedua-dua mereka didakwa mencapai niat bersama telah menyebabkan kematian kepada Hua Chai dengan mengetahui perbuatan itu mungkin menyebabkan kematian.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah premis karaoke di Pusat Bandar Manjung, Seri Manjung, antara jam 11.30 malam pada 7 Mac 2020 hingga 12.20 pagi, 8 Mac 2020.

Kedua-dua mereka boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil dan Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala tertuduh diwakili peguam  Charan Singh dan Tun Mohamad Ammar Aziz.

Berdasarkan fakta kes, berlaku pertengkaran antara kedua-dua tertuduh dengan mangsa dipercayai akibat rasa tidak puas hati apabila kenderaan tertuduh pertama iaitu Muhammad Iman menghalang laluan keluar masuk kenderaan.

Semasa pergaduhan, tertuduh kedua iaitu Suria Sekaran telah menggunakan pisau terhadap mangsa hingga mengakibatkan kecederaan.

Mangsa yang kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seri Manjung disahkan meninggal dunia sekitar jam 12.43 tengah hari pada 9 Mac 2020.