GEORGE TOWN: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan notis larangan menghentikan aktiviti kerja serta-merta di lokasi kemalangan maut membabitkan seorang pekerja lelaki di sebuah tapak pembinaan di Bandar Tanjong Pinang, di sini 1 Julai lepas.
JKKP Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan, arahan itu susulan siasatan yang sedang dijalankan berhubung kemalangan yang membabitkan pekerja buruh binaan warga Indonesia itu.
Dalam kejadian pada 1.30 tengah hari itu mangsa meninggal dunia selepas dihempap perancah pelantar kerja, yang terjatuh dari aras lapan bangunan.
"Pegawai penyiasat JKKP Pulau Pinang telah menjalankan siasatan awal di lokasi kejadian dan mendapati mangsa dipercayai berada di bawah bangunan, iaitu laluan luar bangunan pembinaan berhadapan kawasan rehat pekerja.
“Ketika kejadian mangsa sedang berurusan dengan majikannya sebelum perancah pelantar kerja tersebut terjatuh lalu menghempap mangsa serta sebuah kenderaan milik majikan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Sejurus menerima laporan, JKKP Pulau Pinang telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan notis larangan bagi menghentikan aktiviti kerja yang berkaitan, serta surat arahan larangan kacau ganggu bagi memastikan kawasan kemalangan dikekalkan dalam keadaan asal sehingga siasatan selesai.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan memanggil majikan dan saksi kejadian bagi membantu siasatan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514], serta peraturan-peraturan yang berkaitan.
Menurut JKKP Pulau Pinang, sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap mana-mana peruntukan undang-undang, pihaknya akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.
-- BERNAMA