KANGAR: Seorang lelaki maut akibat terkena libasan besi penyangkut ketika melakukan kerja menarik keluar mesin padi yang tersangkut dalam sawah di Jalan Sungai Padang, Kampung Sungai Padang Simpang Empat, di sini.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata Mohamad Sharif Hamdan, 36, mengalami kecederaan parah pada bahagian leher dan pipi kiri.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian di petak sawah pada 4.33 petang tadi," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sebuah mesin pemotong padi telah tersangkut ketika memotong padi di kawasan tersebut dan semasa proses menarik keluar dengan bantuan sebuah mesin padi lain, satu daripada pencangkok yang diikat pada mesin padi telah patah.

"Rantai besi yang terputus telah melibas bahagian leher sebelah kiri dan pipi mangsa yang berdiri di antara dua mesin padi tersebut menyebabkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata kes masih dalam siasatan.

-- BERNAMA