PRAI: Seorang lelaki maut selepas terjatuh ketika sedang melakukan kerja-kerja menukar bumbung jenis zink di sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Prai, Pulau Pinang.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi Khamis lepas, lelaki tempatan berusia 45 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terjatuh dari bumbung berketinggian lebih 5.5 meter.

Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang (JKKPP), hasil siasatan pihaknya mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang menukar bumbung jenis zink di bahagian belakang bangunan kilang tersebut.

"Mangsa dikatakan telah memijak bahagian zink yang rapuh dan tiada penyokong menyebabkan mangsa jatuh dari ketinggian lebih kurang 18 kaki daripada paras bumbung ke lantai," katanya kenyataan tersebut.

Susulan insiden berkenaan, pihak JKKPP telah mengeluarkan satu notis larangan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kepada pihak kilang atas kesalahan gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja penukaran bumbung sehingga menyebabkan kemalangan.

"JKKPP juga menyita lokasi kejadian secara fizikal untuk memastikan tidak berlaku kejadian kacau ganggu untuk siasatan selanjutnya.

"Manakala majikan juga diarahkan untuk menyediakan dokumen tambahan bagi membantu proses siasatan lanjut dengan kadar segera.

"Tindakan perundangan juga akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya siasatan mendapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," kata kenyataan itu lagi.