PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menasihatkan semua penumpang yang melakukan perjalanan melalui Asia Barat supaya menyemak status penerbangan masing-masing dengan syarikat penerbangan sebelum berlepas ke lapangan terbang.
CAAM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, situasi keselamatan yang masih berkembang di rantau itu terus memberi kesan kepada operasi penerbangan antarabangsa.
Menurutnya, sebagai langkah berjaga-jaga, syarikat penerbangan mungkin mengubah laluan penerbangan, menyusun semula jadual atau membatalkan beberapa perkhidmatan, sekali gus menyebabkan tempoh perjalanan lebih panjang, kelewatan serta gangguan kepada penerbangan sambungan.
“Beberapa syarikat penerbangan antarabangsa telah mengumumkan penggantungan sementara, pembatalan atau pelarasan perkhidmatan melibatkan destinasi di Asia Barat.
“Memandangkan perubahan operasi boleh berlaku pada bila-bila masa, penumpang disaran merujuk terus kepada syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual penerbangan, penerbangan sambungan dan pilihan perjalanan yang tersedia,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, CAAM berkata pihaknya terus memantau perkembangan semasa dan berhubung rapat dengan syarikat penerbangan serta pihak berkepentingan industri penerbangan bagi memastikan aspek keselamatan operasi sentiasa diberi keutamaan.
Antara syarikat penerbangan antarabangsa yang telah mengumumkan penggantungan, pembatalan atau pengurangan ketara perkhidmatan ke Asia Barat ialah British Airways, Singapore Airlines, Emirates, KLM dan Air France, dengan sebahagian pelarasan berkuat kuasa sehingga akhir Ogos, September atau Oktober 2026.
Bagi syarikat penerbangan tempatan, Malaysia Airlines memaklumkan penerbangan Kuala Lumpur-Doha beroperasi setiap hari, namun perkhidmatan lain ke Doha digantung sehingga 24 Oktober 2026, manakala penerbangan ke Jeddah dan Madinah diteruskan seperti biasa.
AirAsia X pula menangguhkan pelancaran laluan Kuala Lumpur-Bahrain-London Gatwick yang dijadual bermula 27 Ogos ini kepada Mac 2027, manakala Batik Air belum mengumumkan sebarang perubahan operasi baharu dan menasihatkan penumpang mendapatkan pengesahan status penerbangan secara terus dengan syarikat itu.
CAAM turut mengingatkan semua syarikat penerbangan yang beroperasi ke dan dari Malaysia supaya memaklumkan sebarang perubahan jadual penerbangan kepada penumpang dengan segera, menyediakan bantuan serta pilihan perjalanan yang bersesuaian mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), selain memastikan komunikasi yang jelas dan telus sepanjang tempoh gangguan.
Dalam masa sama, penumpang dinasihatkan menyemak status penerbangan termasuk penerbangan sambungan sebelum ke lapangan terbang, memperuntukkan masa perjalanan tambahan terutama bagi transit di hab Asia Barat, memastikan maklumat perhubungan dalam tempahan sentiasa dikemas kini serta menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi urusan penjadualan semula, bayaran balik atau bantuan lanjut sekiranya penerbangan terjejas.