AYER KEROH: Seorang lelaki yang melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara sendiri berusia 11 tahun telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

Tertuduh yang berusia 28 tahun dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didapati melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk dari belakang, memegang kemaluan dan payudara sebelah kiri seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.26 petang dan 2 petang di sebuah rumah di Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah pada 9 April 2023 lalu.

Justeru, tertuduh yang hanya bekerja kampung didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira mangsa yang masih kanak-kanak.

Muhammad Nazrin turut memohon syarat tambahan tertuduh perlu menjalani kaunseling pemulihan dan diletakkan di bawah pengawasan polis tidak kurang setahun selepas dibebaskan.

Hakim Mohd Sabri kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 10 April 2023.

Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Tertuduh tidak diwakili peguam.