SHAH ALAM: Kerajaan perlu memperketatkan kemasukan pelancong asing sebagai langkah mencegah penularan penyakit cacar monyet di negara ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan perlu mengambil iktibar daripada kegagalan membendung wabak COVID-19 walaupun telah disarankan supaya memperketatkan kemasukan pelancong daripada negara terjejas wabak itu.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengesyorkan sekatan perjalanan dengan mana-mana negara yang disenaraikan setakat ini, tetapi saringan ketat di semua pintu masuk antarabangsa sedikit sebanyak akan membantu.

“Begitu juga berhubung mekanisme memantau individu dari negara terlibat yang telah memasuki Malaysia (agar) benar-benar bebas penyakit cacar monyet walaupun lepas saringan.

“Ia kerana tempoh inkubasi iaitu masa daripada jangkitan kepada mula bergejala cacar monyet kebiasaannya antara tujuh hingga 14 hari atau dalam lingkungan masa di antara lima hingga 21 hari,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berpandangan, walaupun risiko penularan cacar monyet tidak seperti COVID-19, perkara itu tidak boleh diambil mudah kerana penyakit itu telah menyerang beberapa buah negara termasuk Kanada, Sepanyol, Portugal, Sweden, Itali, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland dan Austria.

“WHO malah meramalkan lebih banyak kes penyakit cacar monyet dikesan melalui perluasan tindakan pengawasan di negara penyakit itu lazimnya tidak ditemui.

“Bagi mengurus risiko penularannya dengan mengambil iktibar kegagalan lalu, Malaysia wajar melaksanakan pencegahan lebih ketat dari sekarang kerana itu adalah lebih baik daripada terpaksa mengubati,” ujarnya.


*Berita asal di Sinar Harian