RIYADH: Arab Saudi mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pengeksport kurma mengikut nilai di dunia bagi tahun keempat berturut-turut, dengan nilai eksport pada 2025 mencecah SAR1.938 bilion (US$513.3 juta), menurut data daripada Pusat Perdagangan Antarabangsa, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Pencapaian itu mencerminkan sumbangan sektor berkenaan yang semakin meningkat kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pertanian di bawah Visi Saudi 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kebangsaan Bagi Kurma dan Palma Ahmed Al-Mousa menyifatkan kejayaan itu berpunca daripada sokongan berterusan kepimpinan Arab Saudi serta usaha terselaras antara entiti kerajaan, perusahaan swasta dan rakan industri untuk mengoptimumkan rantai bekalan serta meningkatkan kecekapan eksport.
Al-Mousa berkata inisiatif pusat kebangsaan untuk membolehkan eksport kurma Arab Saudi dan akses ke pasaran global menjadi pemacu utama kepada perluasan penembusan pasaran antarabangsa.
Kurma Arab Saudi kini dieksport ke kira-kira 125 negara di seluruh dunia, mencerminkan permintaan global yang kukuh terhadap kualiti unggul, standard keselamatan dan kepelbagaian varietinya.
Dengan lebih 37 juta pokok kurma di seluruh wilayahnya, jumlah pengeluaran tahunan kurma negara itu telah melebihi 1.9 juta tan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam penanaman dan hasil pengeluaran.
Pusat Kebangsaan Bagi Kurma dan Palma terus melancarkan program untuk menaik taraf rantaian nilai sektor berkenaan dan memperkasakan jejak saing kurma Arab Saudi di pasaran peruncitan antarabangsa
-- BERNAMA-SPA