KUALA NERUS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menerima sebanyak 37,043 aduan berkaitan kebajikan haiwan dari seluruh negara dalam tempoh Jan 2020 hingga September 2026.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Kesihatan Veterinar) Dr Aida Muhid berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,749 aduan telah diambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
Beliau berkata antara bentuk kesalahan termasuk kegagalan menyediakan keperluan asas haiwan yang mencukupi, penjagaan kesihatan dan persekitaran tidak sesuai serta perlakuan yang menyebabkan kecederaan atau penderitaan terhadap haiwan ternakan dan juga peliharaan.
“Penjagaan kesihatan dan kebajikan haiwan di negara ini digerakkan berpandukan pelbagai instrumen antarabangsa. Malaysia juga merupakan pendukung kuat kepada inisiatif Regional Animal Welfare Strategy (RAWS) untuk Asia dan Pasifik, bagi membina landskap pengurusan haiwan yang terkehadapan, komprehensif dan selari dengan perkembangan sosioekonomi dunia.
“Inilah sebabnya pensijilan Amalan Pertanian Baik atau Good Animal Husbandry Practises (GAHP) sangat dititikberatkan. Sama ada pelaksanaannya pada peringkat kebangsaan melalui pensijilan MyGAP, pematuhan standard serantau seperti ASEAN GAHP, semuanya direka untuk menjamin keselamatan rantaian makanan dari ladang ke meja makan, melindungi kesihatan pekerja ladang, menyantuni alam sekitar dan memelihara tahap kebajikan haiwan ke aras tertinggi,” katanya ketika berucap sempena Program Hari Kebajikan Haiwan 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu Datuk Dr Azman Ibrahim dan Pengarah JPV Terengganu Dr Anun Man.
Aida berkata sebanyak 1,907 daripada 3,314 permohonan lesen di bawah Akta Kebajikan 2015 (Akta 772), telah diluluskan dari tempoh Mac 2021 hingga Sept 2026.
Beliau berkata terdapat 13 aktiviti yang ditetapkan untuk dilesenkan merangkumi penginapan haiwan, menunggang dan mengepung, haiwan persembahan, penyelidikan/ujian/pengajaran, penyelamatan dan pemulihan, tempat perlindungan dan pengurungan, kuarantin, latihan, tempat kurungan haiwan hidup untuk jualan, penyembelihan, pelupusan serta kawalan haiwan terbiar.
“Pelesenan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) merupakan satu mekanisme kawal selia bagi memastikan aktiviti yang melibatkan haiwan, dijalankan secara bertanggungjawab serta mematuhi keperluan kebajikan haiwan.
“Pelesenan ini bukan sekadar keperluan pentadbiran, tetapi merupakan instrumen kawal selia untuk memastikan pihak yang menjalanlan aktiviti berkaitan haiwan memenuhi standard dan keperluan kebajikan haiwan yang ditetapkan,” katanya.
-- BERNAMA