KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan kini dalam cadangan untuk mewajibkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkhidmat selama 21 tahun bagi melayakkan mereka menerima pencen.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan itu akan melibatkan pindaan terhadap Akta Angkatan Tentera 1972 berkaitan peraturan pencen dan ganjaran.

Beliau berkata pada masa ini, anggota tentera mempunyai pilihan bersara iaitu 12, 15 atau 18 tahun perkhidmatan tanpa mendapatkan pencen.

"Mereka yang berhenti awal ini tidak mempunyai pencen dan memulakan kehidupan baharu contohnya dengan berniaga... perkara yang kita khuatir adalah apabila perniagaan mereka tidak menjadi.

"Kita cadangkan pinda akta ini untuk semua anggota wajib berkhidmat selama 21 tahun supaya apabila mereka tamat perkhidmatan nanti ada pendapatan (pencen)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan, Berbuka Puasa dan Ramah Mesra bersama Persatuan-Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM, pada Selasa.

Seramai 175 wakil daripada 73 persatuan veteran ATM di seluruh negara menghadiri perjumpaan dan dialog bersama Menteri Kanan (Keselamatan) itu.

Pada sesi dialog berkenaan, wakil persatuan veteran ATM menyuarakan kebimbangan mereka susulan ramai anggota tentera yang tidak berpencen kini menghadapi kesukaran.

Sementara itu, setakat ini sebanyak RM12.745 juta berjaya dikutip menerusi tabung pahlawan.

-- BERNAMA

p /p

pTAG: , , , , , 

p /p