Tindakan PAS mencadangkan Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali sebagai salah satu calon Menteri Besar Selangor yang baharu merupakan tindakan yang betul.

Demikian pendapat Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan ketika mengulas tentang keputusan mesyuarat PAS pagi tadi bagi membincangkan isu Menteri Besar Selangor.

"Azmin merupakan calon yang lebih sesuai kerana jika Wan Azizah menjadi Menteri Besar Selangor, banyak persoalan akan timbul," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Katanya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail boleh menjadi Menteri Besar yang baik tetapi kerana kedudukannya sebagai isteri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan orang ramai menganggap sebagai hanya 'boneka'.

Mengulas lanjut tentang keputusan PAS itu, katanya keputusan tersebut sememangnya dijangka dan mengejutkan kerana PAS tidak mungkin memilih jalan lain selepas pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR.

"Dari segi penolakan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar juga suatu yang dijangka. Namun untuk menamakan pengganti Abdul Khalid dalam mesyuarat Pakatan Rakyat nanti dijangka panas," tambah Wan Saiful.

PAS hari ini telah mencadangkan dua calon iaitu Presiden PKR, Wan Azizah dan Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Ia bagi menggantikan penyandang jawatan itu, Tan Sri Abdul Khalid yang dipecat dari PKR, 9 Ogos lalu.

Selain itu, PAS turut mencadangkan empat ahlinya supaya terus berkhidmat sebagai Exco dalam kerajaan negeri Selangor, namun tidak menuntut jawatan Menteri Besar sebagai tanda komited terhadap Pakatan Rakyat (PR).

PKR pada 22 Julai lalu menamakan Wan Azizah sebagai calon baru bagi jawatan tersebut. Tindakan itu turut disokong oleh DAP.