MALAYSIA
Cadangan gubal RUU Tribunal Anti-Buli diteliti - BHEUU JPM

Mesyuarat berkenaan dihadiri pegawai kanan daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi berkaitan antaranya Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri. - Gambar BHEUU JPM
KUALA LUMPUR: Penggubalan Rang Undang-Undang Tribunal Anti-Buli antara cadangan diteliti pada Mesyuarat Mengenai Usaha-Usaha Memperkukuh Mekanisme Pencegahan Buli di Malaysia, hari ini.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) memaklumkan mesyuarat turut meneliti aspek memperkukuh kerangka undang-undang sedia ada dengan memasukkan elemen pemulihan dan perlindungan kanak-kanak bagi memastikan sistem perundangan diamalkan tidak hanya berfokus kepada aspek penghukuman.
"Keutamaan pendekatan pemulihan terhadap pelaku yang masih berstatus kanak-kanak atau remaja, selaras dengan prinsip di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) turut diteliti pada mesyuarat itu," menurut BHEUU JPM dalam kenyataan hari ini.
BHEUU JPM memaklumkan mesyuarat berkenaan yang berlangsung di ibu negara, dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli.Turut dibincangkan pada mesyaurat itu ialah penggunaan pendekatan whole-of-government untuk memastikan usaha pencegahan buli dilaksanakan secara menyeluruh di sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja, komuniti setempat dan ruang maya.
"Isu buli semakin menjadi cabaran nasional yang memberi kesan mendalam kepada mangsa dan masyarakat secara keseluruhan.
"Sehubungan itu, mesyuarat ini merupakan langkah permulaan yang penting dalam merangka pelan tindakan konkrit dan praktikal bagi memastikan Malaysia mempunyai mekanisme pencegahan buli yang mantap, adil dan berkesan," menurut kenyataan itu.
BHEUU JPM turut menyatakan komitmen untuk memastikan setiap cadangan yang dibangunkan melalui mesyuarat hari ini dapat diterjemahkan kepada tindakan yang realistik, inklusif dan berpandangan jauh.
"Dengan kerjasama erat seluruh kementerian, agensi serta pihak berkepentingan, BHEUU yakin persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan bebas daripada ancaman buli dapat diwujudkan, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI," menurut kenyataan itu.
Mesyuarat berkenaan dihadiri pegawai kanan daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi berkaitan antaranya Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri.
Turut serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah; Kementerian Perpaduan Negara; Kementerian Komunikasi; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Kesihatan; Jabatan Peguam Negara; Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) serta Jabatan Perdana Menteri.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami