Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali hari ini berkata cadangan untuk menghapuskan 'bangsa' di dalam setiap borang adalah melampau dan 'mempunyai niat jahat terhadap bangsa Melayu'.

Menurutnya, menghapus perkataan bangsa dalam apa jua borang bererti menghapus perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, terutama sekali yang melibatkan hak istimewa orang-orang Melayu.

Ibrahim turut mempersoalkan kenapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup tidak mencadangkan sekolah satu aliran sebagai jalan untuk memupuk perpaduan.

"Apa tujuan Joseph Kurup buat cadangan ini? Mungkin alasan 'perpaduan'. Apakah kertas boleh halang perpaduan?

"Kenapa Joseph Kurup tidak cadang sekolah satu aliran untuk perpaduan? Pengenalan bangsa penting dalam borang selagi mana bangsa Melayu masih ketingalan dalam banyak perkara," katanya dalam satu teks pesanan ringkas kepada Astro AWANI.

Ujar beliau, urusan dalam pentadbiran perlu mengenali nama mengikut bangsa dan sesebuah negara ada bangsa dan agama dominannya mengikut sejarah seperti apa jua warisan sejarah.

"Banyak lagi sebab-sebab kenapa perlu dikekalkan pengenalan bangsa di setiap borang," kata Ibrahim lagi.

Selain itu, Ibrahim turut berkata jika kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib tun Razak bersetuju dengan cadangan Joseph itu, ia hanya akan memberi ruang untuk lebih ramai orang Melayu tidak menyokong UMNO.

Oleh yang demikian, beliau menyarankan agar berhati-hati menilai setiap cadangan yang dikemukakan.

Pagi tadi, Joseph, dalam perasmian Dialog Perpaduan berkata sudah tiba masa untuk menghapuskan keperluan menamakan bangsa dalam sebarang borang dalam negara ini.

Katanya, selepas 50 tahun penubuhan Malaysia, adalah sedih untuk melihat rakyat masih dipisahkan dengan identiti kaum dan agama.