KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) digesa mengadakan kursus latihan kesedaran hak asasi manusia kepada polis dan agensi penguatkuasaan lain agar setanding dengan piawaian peringkat antarabangsa.

Menurut Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, kursus latihan itu juga bagi mengelakkan agensi berkenaan membuat kenyataan remeh seperti mengenakan tindakan biadab dan kuno.

Mengulas kenyataan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Persekutuan, Datuk Hazani Ghazali yang mahu tindakan sebat diambil terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang telah ditangkap berulang kali memasuki negara, Teresa mempersoalkan cadangan itu yang disifatkannya tidak berperikemanusiaan.

BACA: Polis cadang PATI ulang kesalahan ceroboh Malaysia disebat 

“Hukuman sebat berkenaan dilihat sebagai tindakan biadab dan merendahkan maruah manusia di peringkat antarabangsa.

“Ramai PATI yang menyelinap masuk ke Malaysia adalah golongan miskin dan cadangan sebat itu dilihat  tidak berperasaan yang hanya akan menjejaskan hubungan Malaysia dan negara jiran,” tegas Teresa dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Beliau dalam masa sama mempersoalkan adakah hukuman sebat itu akan dilanjutkan kepada pegawai penguat kuasa licik yang gagal menghalang PATI masuk ke Malaysia.

Teresa turut mempersoalkan bagaimana pula dengan hukuman pada penjawat awam yang membantu dan bersubahat dalam penyeludupan migran haram.