Cadangan melaksanakan visa percuma (VFF)kepada pelancong dari China akan dibawa ke Kabinet pada Khamis.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kementeriannya telah membincangkan cadangan itu minggu lepas dan merangka butiran untuk dibentangkan kepada Kabinet.

Beliau berkata cadangan itu tepat pada masanya memandangkan enam anggota Asean yang lain - Kemboja, Indonesia, Laos, Vietnam, Thailand dan Filipina - telahpun menawarkan visa percuma kepada pelancong China.

Malaysia harus menawarkan visa percuma untuk bersaing dengan negara-negara jiran bagi menarik lebih ramai pelancong dari China, kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan pameran 1,600 panda di sebuah pusat membeli-belah di Sri Hartamas di sini, hari ini.

Cadangan kementerian untuk memperkenalkan VFF kepada pelancong dari China adalah sebahagian daripada usaha untuk mencapai sasaran menarik 29.4 juta pelancong ke negara ini bersempena Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015).

Pameran 1,600 panda itu yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai haiwan yang diancam kepupusan akan berlangsung sehingga 25 Jan.

Setakat ini, pameran itu diadakan di lebih 15 lokasi ikonik di Semenanjung Malaysia.

NAK2 AAW FAZ ROS